Manikumar tetap dengan PKR, nafi dakwaan tinggal parti

Mohd Ali Hashim
ALOR SETAR, 15 Mei:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, S.Manikumar menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa beliau akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut beliau, berita yang digembar-gemburkan itu langsung tidak berasas dan hanya mahu menjatuhkan PKR Kedah.

"Desas-desus yang didengari ini adalah satu tohmahan yang sudah lama diperkatakan.Namun begitu saya tidak akan sekali-kali meninggalkan PKR.Oleh kerana itu bagi mereka yang sentiasa cuba menimbulkan isu sensasi ini perlu sedar dan menerima hakikat bahawa Kedah adalah diperintah oleh PR."katanya.

Beliau juga berkata, tiada sebab untuk beliau mengikut rentak Umno BN berhubung perkara tersebut apatah lagi sangat selesa dengan pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri Kedah pada waktu ini.

"Kenapa pula saya mahu terikut-ikut dengan rentak pembangkang seperti Umno dan Barisan Nasional (BN) yang ingin melihat Pakatan Rakyat goyang di negeri Kedah.Saya selesa dengan pentadbiran Kerajaan Negeri yang ada," katanya lagi.

Manikumar yang juga Exco negeri menegaskan dia bukan seorang yang mudah melupakan jasa orang lain dan seorang yang tetap pendirian.

Baginya, amanah yang diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum lalu tidak akan sesekali dikhianatinya.

"Sebenarnya saya adalah seorang yang mempunyai pendirian.Tidak mudah untuk saya melupakan jasa orang lain apa lagi melupakan budi rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada saya dalam pilihan raya kecil yang lalu untuk membela nasib mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan