Lengah Lulus Entiti Pakatan Rakyat, Gambaran Wujud Keputusan Politik

DAMANSARA, 24 MEI: Pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti dijangka mengambil masa yang lama berikutan campur tangan politik bagi melengah-lengahkan penggabungan ini.

Sekalipun ia dibuat kira-kira setahun lalu, sehingga kini tidak ada perkembangan walaupun sesetengah parti baru yang cenderung menyokong kerajaan pemerintah, melalui jalan pintas.

Bercakap pada sidang media, Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim percaya kelulusan pendaftaran entiti ini banyak bergantung kepada keputusan politik.

Zaid Ibrahim menganggap kelengahan berkenaan memberi gambaran kerajaan Umno- Barisan Nasional (BN) takut untuk meluluskan permohonan ini.

Beliau tidak menyalahkan pegawai kerajaan yang mungkin sudah memberi kelulusan tetapi ia mungkin disekat akibat campur tangan anasir politik.

“Agak-agak saya, pegawai di badan pendaftar pertubuhan (ROS) sudah buat kerja mereka. Saya tak salahkan pegawai, saya rasa ini politik punya keputusanlah. Saya yakin pegawai sudah lulus pun,” katanya.

Beliau kesal kerana kelengahan ini berlawanan dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen yang sedia meluluskan permohonan entiti Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penjelasan jitu.

“Apasal BN takut sangat hendak daftarkan Pakatan Rakyat. Sampai hari ini sudah masuk tujuh, lapan bulan. Kalau Parti Makkal Sakti lulus dua minggu sahaja. Parti cinta Malaysia sebulan sahaja.

"Tapi, kalau Pakatan Rakyat tak lulus-lulus pula. Saya pun hairanlah, apa pasal yang takut sangat,” katanya.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan