Nasib SUPP selepas kalah di Sibu

Subky Latif
SUPP atau Parti Rakyat Bersatu Sarawak yang mewakili Barisan Nasional yang kalah dalam pilihan raya kecil Parlimen di Sibu pada pertengahan Mei lalu bukanlah parti yang asalnya diasaskan menjadi parti kerabat Barisan Nasional.

Bahkan ia diasaskan bagi membebaskan Sarawak dari penjajahan British dan apabila Sarawak merdeka melalui Malaysia, ia kekal sebagai sebuah parti pembangkang yang menentang gabungan Perikatan yang berkuasa di Sarawak.

Ia adalah parti yang tidak tertarik dengan gagasan pembetukan Malaysia kerana sebelumnya ia mempunyai hubungan langsung dan tidak langsung dengan perjuangan Shaikh Azahari, pemimpin Partai Rakyat Brunei bagi membentuk sebuah Negara Kesatuan Kalimantan Utara yang menggabungkan Brunei, Sabah dan Sarawak dengan Sultan Brunei sebagai Rajanya.

Politik SUPP sebagai parti pembangkang di Sarawak selepas berada dalam Malaysia dulu adalah sama dan sealiran dengan pembangkang di Semenanjung seperti Gerakan, PPP di bawah Seenivasagam bersaudara di Perak dan DAP. Ia parti yang rata-rata dikuasai oleh masyarakat Cina yang dikira anti UMNO dan sekutu-sekutunya dalam Perikatan.

Ia adalah sebuah parti yang besar pengaruhnya dan ikut berpandangan bahawa parti-parti dan individu di Sarawak yang menyokong Malaysia adalah pihak yang menjadi boneka kerajaan pusat dan parti Perikatan yang berkuasa. Sekalian mereka yang cenderung menyokong Kuala Lumpur dan Perikatan tidak begitu popular di Sarawak.

Dalam pilihan raya awal tahun 70an bagi menentukan pengaruh Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak yang pertama selepas pembentukan Malaysia, SUPP adalah parti pembangkang yang penting.

Kalong Ningkan dipercayai orang lebih cenderung dengan politik Lee Kuan Yew dan tidak senang dengan penyingkiran Singapura dari Malaysia. Tidak dipastikan pendirian SUPP dengan pemimpin Singapura itu. Yang nyata keduanya tidak sekata dalam pembentukan Malaysia. Lee Kuan Yew pro pembentukan Malaysia menakala SUPP tidak tertarik dengannya.

Dalam pilihan raya bagi menentukan kerajaan Sarawak yang tidak berbelah bagi kesetiaannya kepada Kuala Lumpur, SUPP yang paling ketara menentang orang-orang yang diberi sokongan penuh oleh Kuala Lumpur seperti Abdul Rahman Yaakub dan Abdul Taib Mahmud.

Perdana Menteri Tun Razak mengirim Menteri Pelajaran Abdul Rahman Yaakub bagi menjadi calon Ketua Menteri bagi menggantikan Ketua Menteri Tawi Seli yang tidak lagi bertanding dalam pilihan raya itu.

Keputusan pilihan raya itu tidak memberikan majoriti yang jelas kepada parti-parti yang bertanding. Kira-kira seperti yang terjadi di Britain dalam pilihan raya Mei lalu.

Dalam kebuntuan itu, seperti yang Tun Datu Mustapa, Ketua Menteri Sabah ketika itu kata kepada saya, bahawa beliau bersama Perdana Menteri Tun Razak mengadakan pertemuan dengan pemimpin SUPP, Ong Kee Hui rakannya semasa belajar di Maktab Pertanian Serdang dulu.

Tun Mustapha memintanya membentuk kerajaan campuran dengan Abdul Rahman Yaakub sebagai Ketua Menteri. Ong Kee Hui tidak dapat membuat keputusan tanpa persetuan Setiausaha Agung SUPP Stephan Yong. Tun Mustapha memintanya memanggil Stephan.

Kedua mereka didesak bersetuju membentuk kerajaan dengan Perikatan. Stephen Yong kata mustahil kerana mereka baru berkempen menentang parti yang dipimpin oleh Abdul Rahman Yaakub.

Menurut Tun Mustapha, dia minta Tun Razak menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepadanya satu jam. Tun Razak dikatakan tidak berhalangan.

Dengan kuasa Perdana Menteri itu, Tun Mustapha memberi kata dua kepada kedua pemimpin SUPP supaya bersetuju membentuk kerajaan dengan Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri. Jika menolak kedua mereka akan dikenakan Tun Mustapa tindakan ISA.

Kata Tun Mustapha mereka bersetuju dengan tekanan itu. Kuasa Perdana Menteri dipulangkan semula kepada Tun Razak. SUPP bersetuju membentuk kerajaan bersama Abdul Rahman Yaakub.

Dari masa persetujuan SUPP menyertai Perikatan dan tidak lagi berbangkit kerajaan yang dibentuk sebagai kerajaan campuran tetapi ialah kerajaan Perikatan.

Penyertaan SUPP dalam Perikatan yang peranannya dimainkan oleh Abdul Rahman Yaakub membuka jalan kepada Tun Razak melebarkan Perikatan kepada apa yang dinamakannya Grand Alliance atau Perikatan Raya membawa Gerakan pimpinan Dr. Lim Chong Eu di Pulau Pinang dan PPP di Ipoh bersamanya.

Tun Razak melobi PAS menyertai Perikatan yang besar itu tetapi Datuk Asri, Menteri Besar Kelantan tidak bersetuju gabungan itu dikekalkan dengan nama Perikatan tetapi boleh menimbangkannya menggantikannya dengan nama lain.

Tun Razak dan Datuk Asri bersetuju nama baru itu Barisan Nasional. Maka berakhirlah Perikatan yang diganti oleh Barisan Nasional.

Tetapi pembuka jalan kepada Perikatan yang lebih besar tadi dimulakan dengan persetujuan SUPP. Sejak itu SUPP tidak lagi dikenali sebagai parti yang radikal tetapi terus menjadi kerabat Barisan Nasional yang setia.

Sibu yang menjadi kubunya sejak ia dibentuk kekal menjadi kubunya sekalipun menjadi komponen BN hampir 40 tahun. Tetapi pilihan raya kecil pertengah Mei lalu didapati SUPP tidak dapat mempertahankan kerusinya dan Sibu seperti kembali ke zaman ia sebelum menyertai Perikatan/BN dulu.

Apakah ia akan mengalami nasib yang telah menimpa Gerakan dan PPP?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan