Majoriti Orang Cina sokong DAP,mengapa PAS/PKR masih ditolak Melayu

anak_muar

PRK Sibu telah pun selesai dengan memperlihatkan kejutan dan keajaiban kemenangan telahpun berpihak kepada DAP. Kempen DAP-PR dilihat agak sederhana jika dibandingkan dengan kempen ala gergasi oleh kerajaan BN dengan lambakan janji dan kewangan. Apa yang paling penting adalah masyarakat Cina di Sarawak sudah menunjukkan sikap bijak dan matang dalam isu politik.

Masyarakat Cina di semenanjung telahpun lebih awal melalui proses kematangan dalam berpolitik jika hendak dibanding dengan kaum lain terutamanya orang Melayu.

Walaupun sogokan dan lambakan janji diberikan kepada mereka namun prinsip dan pendirian mereka dalam menuntut perubahan tidak mudah berganjak dan tergugat. Itulah sikap keberanian dan ketegasan kaum Cina yang perlu dicontohi oleh orang Melayu. Sebab itulah perlu diakui mereka ini lebih maju dan bijak dalam pelbagai bidang yang diceburi terutamanya dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

PRU-12 yang lepas menunjukkan majoriti kaum Cina telah menolak BN dan menyokong calon pembangkang dari PAS, PKR dan DAP tanpa mengira kaum dan agama. Adalah tidak benar mendakwa kaum Cina ini bersikap perkauman. Kaum Cina begitu sudah sedia berubah untuk bersama PR bagi membentuk sebuah kerajaan baru yang lebih bersih dan telus. Malangnya kaum lain khususnya Melayu masih tidak bersedia melakukan perubahan politik kerana orang Melayu mudah ditakutkan dan diperdaya dengan sogokan dan janji manis.

Justeru timbul persoalan adakah parti pembangkang PAS dan PKR masih gagal menemui formula yang terbaik bagi menarik sokongan pengundi Melayu ataupun sememangnya orang Melayu itu sendiri sebenarnya masih dianggap lambat untuk matang dan tidak berani melakukan perubahan dengan menolak UMNO dan menyokong PAS/PKR. Apakah PAS/PKR perlu mempelajari dari DAP cara bagaimana menarik sokong Melayu terhadap mereka.

Majoriti orang Melayu memang sudah sebati jiwa mereka dengan UMNO walaupun mereka sedar bahawa UMNO telah gagal dalam menjaga kepentingan kaum Melayu dan Islam kerana telah lebih 50 tahun merdeka orang Melayu masih ketinggalan dalam pelbagai perkara namun masih terus setia dengan UMNO. Cuma golongan muda Melayu dilihat mula menolak UMNO dan jumlahnya bertambah.

Keputusan PRK Sibu ini perlu dijadikan semangat buat PAS/PKR supaya lebih berusaha dalam menyedarkan orang Melayu bahawa mereka perlu berani berubah untuk bersama PAS/PKR sebagai wadah baru dalam memperjuangankan masa depan bangsa dan agama dengan pendekatan yang lebih berkesan dan telus. Orang Melayu tidak perlu bimbang dengan hak kepentingan mereka dan agama Islam kerana ia telahpun termaktub dalam perlembagaan negara. Jika PR memerintah Malaysia dasar PR tidak boleh lari dari perlembagaan negara. Apa lagi yang orang Melayu perlu bimbangkan. UMNO hanya mahu menakut-nakutkan orang Melayu semata-mata hanya mahu mempertahankan kuasa mereka sahaja.

PAS/PKR perlu membuat kajian yang lebih mendalam bagaimana ingin menarik sokongan orang Melayu untuk bersama mereka. Apakah pakej yang terbaik mampu ditawarkan oleh PAS/PKR dalam memperjuangan kepentingan Melayu dan Islam berbanding UMNO. Usaha menyedarkan orang Melayu perlu dilakukan secara berterusan dengan isu-isu yang mampu mengubah pemikiran orang Melayu untuk bersama mereka. Kemenangan DAP ini dijadikan titik-tolak bagi PAS/PKR untuk terus berusaha untuk bersaing dengan UMNO sebagai wadah baru dalam perjuangan agama dan bangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan