Tsunami politik kini sampai ke S'wak

Kejayaan DAP merampas kerusi parlimen Sibu dalam pilihan raya kecil hari ini agak mengejutkan kerana para pemimpin parti tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenanginya.

Di kalangan para pemerhati politik pula, keputusan hari ini sekaligus menunjukkan bahawa tsunami politik yang melanda Semenanjung pada 2008 kini sudah sampai ke pantai Sarawak.

Dalam pilihan raya kecil hari ini, DAP berjaya merampas kerusi parlimen Sibu dengan menewasan BN - walaupun dengan majoriti tipis 398 undi.

Calon DAP Wong Ho Leng mendapatkan 18,845 undi untuk menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi. Manakala calon Bebas Narawi Haron mendapatkan 232 undi.

Undi
rosak pula berjumlah 395. Keputusan tersebut diumumkan oleh pengurus pilihan raya, Wong See Meng. Bagi undi pos pula, BN memperolehi 2,323 undi manakala calon DAP mendapat 70 undi dan calon Bebas pula mendapat 36 undi.

Manakala jumlan pemilih yang keluar mengundi hari ini ialah 70 peratus atau 37,919 orang.

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya dari BN, Datuk Robert Lau Hoi Chew, yang timbalan menteri pengangkutan, pada 9 april lalu.

Dalam pilihan raya umum 2008, Hoi Chew menang dengan majoiri 3,235 undi. Beliau memperolehi 19,138 undi, manakala Wong Ho Leng mendapat 15,903 dan Lim Chin Chuang dari PKR yang mendapat 812 undi.

Pilihan raya kecil hari ini merupakan yang kedua di Sarawak dalam tempoh setahun. April lalu BN mengekalkan DUN Batang Ai.

Kejayaan DAP untuk memenangi kerusi parlimen Sibu hari ini juga banyak dibantu oleh peralihan sokongan pengundi Cina kepada parti tersebut.

Pada keseluruhannya, kira-kira 10 peratus undi Cina kepada BN pada 2008 telah beralih kepada Pakatan Rakyat.

Paling jelas dilihat perubahan sokongan ini ialah di kawasan majoriti pengundi Cina di Pelawan, di mana kira-kira 5,000 undi BN pada 2008, telah beralih kepada DAP.

Begitu juga dengan kawasan majoriti Cina di Bawang Assan di mana calon DAP mendapat sokongan besar penduduk di situ.

BN juga kehilangan sokongan pengundi kaum Melanau-Melayu juga dilihat turut beralih kepada Pakatan Rakyat walaupun jumlah tidak sebenar pengundi Cina.

Bagaimanapun, keputusan pengundian hari ini juga menunjukkan pengundi dari kalangan kaum Iban pula masih taat menyokong BN.

Perubahan sokongan tersebut antara sebab utamanya dilihat sebagai penolakan kepada dinasti politik di peringkat parlimen dan negeri itu.

Ia juga dilihat sebagai tanpa protes penduduk terhadap kekurangan pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Sibu, khususnya masalah banjir yang sering dihadapi penduduk, sertai cukai tanah yang terlalu tinggi.

Perkembangan hari ini harus dipandang serius oleh kepimpinan BN yang selama menganggap Sarawak sebagai 'simpanan tetap' BN yang tidak pernah gagal menyumbangkan banyak kerusi parlimen pada setiap pilihan raya umum.

Malah, pada 2008, Sarawak dan Sabah menyumbang 39 kerusi parlimen ketika BN gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Sekiranya 'simpton' ini berjangkit, pasti ianya bakal menjadi satu masalah besar terhadap BN dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan