Samy cantas 2 anggota CWC, angka kini 4 orang

Datuk Seri S. Samy Vellu meneruskan tindakan mencantas penentangnya dengan memecat dua lagi pemimpin hari ini — kali ini membabitkan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang dipilih.

K.P. Samy dan G. Kumar Aamaan dikeluarkan surat pemecatan daripada Presiden MIC hari ini.Dengan keputusan drastik itu, Samy Vellu yang menggunakan kuasa sebagai presiden untuk memecat mereka, empat orang telah dipecat dalam dua minggu ini

Mugilan dipecat Khamis lalu.

Samy Vellu memecat Samy dan Kumar ketika Bharat Maniam membuat rayuan berhubung pemecatannya hari ini.

Mugilan juga memutuskan untuk membuat rayuan hari ini.

Ketika dihubungi 6 petang tadi, Samy mengesahkan menerima surat pemecatan.

“Saya baru sahaja menerima surat... saya dipecat atas alasan membuat kenyataan meminta Datuk Seri Samy Vellu berundur segera,” kata Samy, ketua cawangan Shah Bandar, Selangor.

Samy akan mengadakan sidang media tengah hari esok berhubung tindakan terbaru Samy Vellu ini.

“Saya memang telah menjangkakan tindakan ini. Tindakan Datuk Seri Samy Vellu kini membawa parti ke arah kehancuran, biar ahli membuat penilaian akan tindakan beliau,” kata Samy, antara beberapa pemimpin yang lantang bersuara dalam mesyuarat CWC.

“Saya sedih dengan tindakan Datuk Seri Samy Vellu ini... ini menunjukkan beliau bertindak seperti seorang diktator, tiada siapa yang boleh memberi pandangan dan bersuara,” kata Kumar.

Anggota CWC penggal pertama ini berkata, walaupun Samy Vellu mengendakan tindakan, “kami sudah mendapat tempat dalam hati rakyat.”

“Biar Tuhan mengadili Datuk Seri Samy Vellu dan biar Perdana Menteri ambil tindakan sewajarnya ke atas presiden MIC ini,” kata Kumar lagi sambil menambah, beliau telah menerima surat pemecatan kira-kira 7:15 petang ini.

Samy dan Kumar merupakan antara lima anggota CWC daripada kalangan bukan puak direstu Samy Vellu memenangi pemilihan CWC September lalu.

Samy Vellu mengambil tindakan ini dua hari selepas memberi amaran pada Konvensyen MIC Pahang di Genting Highlands bahawa beliau tahu “bagaimana hendak berurusan dengan budak-budak kecil” yang mula membuat kacau dalam parti.

Sehari selepas Samy Vellu mengumumkan pelan peralihan kuasa iaitu suku ketiga tahun depan, Mugilan membuat kenyataan terbuka meminta pemimpin veteran itu berundur segera ataupun selewat-lewatnya 31 Disember ini.

Samy dan Kumar membuat kenyataan yang serupa Jumaat lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan