Mohd Ezli Mashut
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan negara-negara dunia mengenakan sekatan ekonomi dan politik terhadap Israel dalam kadar segera.
Kita mahu dunia bukan sekadar mengeluarkan kecaman dan kutukan tetapi yang lebih penting ialah tindakan keras terhadap negara haram Israel.
Negara-negara Arab perlu menggerakkan usaha lebih giat dan proaktif bagi memastikan rakyat Palestin yang pada ketika ini berhadapan situasi getir mendapat bantuan dalam kadar segera.
AMK Selangor menggesa Perdana Menteri agar dapat memainkan peranan utamanya dalam OIC, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) untuk memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi secara rasmi dan tidak rasmi terhadap Israel dengan segera.
Malahan segala hubungan antara entiti dan proksi Zionist Israel di rantau ini diputuskan segera.
AMK Selangor mendesak dunia memberikan perlindungan terhadap aktivis-aktivis misi kemanusiaan ke Gaza dalam apa jua bentuk. Ini amat penting kerana warga pelbagai negara dunia bersama-sama terlibat dalam misi talian hayat kepada rakyat Palestin.
Kita juga berharap Malaysia dapat mencontohi keberanian negara Turki dalam isu Palestin ini yang jelas dan berani pendiriannya.
Dalam perkembangan terkini, AMK Selangor mengulangi desakan terhadap dunia agar nasib aktivis-aktivis kapal Rachel Corrie tidak menerima nasib yang buruk seperti kapal Mavi Marmara.
Kita berharap Wisma Putra memainkan peranan yang efektif dan berkesan untuk terus menyampaikan maklumat tepat dan pantas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan