Liew Chin Tong
Saya selaku Setiausaha Antarabangsa DAP mewakili Parti DAP menyertai pembahasan usul mengutuk kezaliman rejim Israel di atas prinsip-prinsip demokrasi, keadilan dan kemanusiaan.
Insiden kezaliman terkini harus dilihat bukan sahaja secara khusus terhadap serangan tentera Israel ke atas kapal-kapal bantuan kemanusiaan berhampiran Gaza baru-baru ini tetapi juga isu keganasan dan kezaliman secara keseluruhannya.
1. Saya selaku Setiausaha Antarabangsa DAP mewakili Parti DAP menyertai pembahasan usul mengutuk kezaliman rejim Israel di atas prinsip-prinsip demokrasi, keadilan dan kemanusiaan.
2. Insiden kezaliman terkini harus dilihat bukan sahaja secara khusus terhadap serangan tentera Israel ke atas kapal-kapal bantuan kemanusiaan berhampiran Gaza baru-baru ini tetapi juga isu keganasan dan kezaliman secara keseluruhannya.
3. Negara kita memang kecil dari segi keluasan dan jumlah penduduk tetapi kita boleh menjadi teladan "middle power" seperti Australia dan Korea Selatan yang tidak dianggap kuasa besar tetapi luas pengaruh mereka.
4. Sebagai bekas pengerusi OIC dan NAM, Malaysia boleh memimpin pandangan sedunia sebagai "middle power" dalam isu Palestin.
5. Sukerelawan-sukerelawan Freedom Foltila memanglah wira-wira zaman kita. Tetapi isu pokok Palestin buat masa ini adalah keputusan pilihanraya Palestin 2006.
6. Pilihanraya Palestin pada Januari 2006 telah memilih HAMAS sebagai parti majoriti dengan 76 kerusi daripada sejumlah 132 kerusi.
7. Israel menggunakan alasan bahawa HAMAS itu penganas; maka tidak harus diberikan kuasa untuk memerintah Palestin. Maka wujudnya "divide and rule" di antara Gaza dan Tebing Barat (West Bank) dengan Fatah mengawal Tebing Barat.
8. Ini adalah asal blockade Gaza selepas pilihanraya 2006. Malaysia haruslah memimpin pandangan dunia untuk mengiktiraf keputusan demokratik rakyat Palestin.
9. Usul Perdana Menteri harus menyentul isu pokok ini. Kalau tidak, Kerajaan terus menangani isu kecil yang hanya menjadi simptom kepada perkara pokok yang yang lebih besar. 10. Parlimen yang mulia ini telah mengadakan sesi luar biasa pada 12hb Januari 2009 semasa keganasan Israel. Selepas itu tiada apa-apa tindakan dikenakan terhadap Israel. Kini kita membahaskan satu lagi keganasan Israel. Insiden terbaru ini nampaknya cuma mengulangi cerita lama.
11. Adalah dikesali bahawa semasa Perdana Menteri bertemu dengan Presiden Obama pada 12hb April 2010 di White House - dan menurut kenyataan rasmi White House - tidak berbangkit langsung isu Palestin. Adakah Perdana Menteri lupa atau sudah menganggap Palestin bukan lagi isu penting untuk Malaysia? Sedangkan pertemuan itu cuma dua bulan yang lalu sahaja.
12. Kesimpulannya, sementara kita perlu mengutuk kezaliman Israel yang terbaru ini, kita juga mesti mengatasi isu pokok iaitu mendesak dunia mengiktiraf dan menguatkuasakan mandat rakyat Palestin, iaitu akur kepada keputusan pilihanraya 2006.
13. Malaysia mesti memimpin dan bukannya menjadi pengikut mana-mana kumpulan. Malah dalam usaha menjuarai isu Palestin, kita rakyat Malaysia tidak boleh melakukannya secara selektif, iaitu kerana agama atau kaum, tetapi semata-mata atas dasar demokrasi, keadilan dan kemanusiaan.
14. Ini bererti jika Malaysia mahu menjadi "middle power" yang berani kerana benar, kita juga harus secara terbuka dan jujur memimpin isu-isu anti-keganasan lain yang sedang berlaku di dunia ini termasuk di Burma dan beberapa negara serta wilayah di mana rakyat tak berdosa menjadi mangsa penindasan pemerintah mereka sendiri. *Teks ucapan Liew Chin Tong, Setiausaha Antarabangsa DAP merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera, pada 7 Jun 2010 semasa membahas usul mengutuk Israel di Dewan Rakyat, Parlimen. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan