Kemungkinan PRU Ke-13 dipercepat

Ahmad Atory Hussain
Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU)Ke-13 perlu diadakan lebih awal dengan alasan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak mendapat sokongan rakyat ekoran kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dan Parlimen Hulu Selangor serta kedudukan ekonomi Negara yang semakin memberangsangkan.

Faktor lain ialah perkembangan mutakhir yang menyaksikan ramai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti dan menyertai UMNO serta beberapa anggota DUN dan Ahli Parlimen pembangkang yang juga keluar parti dengan menyatakan sokongan terhadap BN, ditambah pula kemelut berlaku dalam PKR.

Begitu juga isu dan konflik politik yang berlaku di kalangan pemimpin PKR dan PAS Selangor. Maka memang dirasakan BN dan Perdana Menteri perlu mengambil peluang ini untuk memperbaharui mandat baru daripada rakyat.

Pada pandangan pemimpin BN dan UMNO, selagi komposisi Parlimen yang diasak sebilangan ahli Parlimen pembangkang (termasuk sesetengah ahli Parlimen BN juga) yang kurang bersikap ‘parliamentarian’, yang semacam merosakkan nama baik Parlimen dan perbahasan yang pada keseluruhannya tidak menguntungkan atau tidak memberi banyak faedah kepada rakyat, maka pertimbangan mempercepatkan PRU Ke-13 kelihatannya adalah wajar.

Inilah kesempatan terbaik buat Perdana Menteri memilih bakal wakil rakyat terbaik berasaskan ‘pemimpin mendahului rakyat dan pencapaian diutamakan’. Hal ini dilihat tidak perlu mengambil kira akan kekalahan BN di Sibu yang mungkin dianggap sesuatu yang kurang impak berbanding faktor ekonomi yang sudah pulih dan sokongan secara umum rakyat terhadap BN dan Najib yang semakin meluas.

Pada hemat saya, saranan Dr Mahathir perlu dinilai secara serius kerana jika BN mengambil langkah terburu-buru, natijahnya akan memakan diri sendiri seperti berlaku ketika PRU Ke-12 yang sepatutnya tidak perlu diadakan pada 2008 kerana mandatnya boleh dilanjutkan sehingga akhir 2009.

Kecuali PRU Ke-6 pada 1982, semua PRU sejak merdeka diadakan sekitar empat tahun dan yang terpendek tempoh mandatnya ialah tiga tahun lapan bulan (1978-1982). Justeru, tidak janggal sekiranya Najib mahu mengadakan PRU Ke-13 pada bila-bila masa, mungkin awal tahun depan, iaitu tempoh mandat tiga tahun saja daripada tarikh PRU 2008.

Apapun, pada hemat saya, Perdana Menteri atau kerajaan yang ada mempunyai kuasa penuh untuk mengadakan PRU pada bila-bila masa yang pada pendapatnya wajar dan sesuai dengan kehendak kerajaan dan parti yang beliau pimpin.

Persoalan pokok di sini bukanlah lama atau cepatnya tempoh mandat pilihan raya umum itu, tetapi dari segi pertimbangan politik yang memerlukan kewajaran dan rasional bagi mengadakan PRU lebih awal.

Pertimbangan serius perlu dilihat, termasuk apakah kepemimpinan Najib benar-benar mendapat sokongan rakyat? Selain itu, apakah dengan pemulihan ekonomi dapat membantu melonjakkan lagi sokongan rakyat terhadap BN dan UMNO?

Pertimbangan sedemikian penting difikirkan. Soal mengadakan PRU Ke-13 – cepat atau lambat – tidak timbul kerana ia pasti diadakan juga, walaupun sehingga mandatnya mencecah lima tahun pada 2013, popular atau tidak popular BN dan kepemimpinan UMNO, PRU mesti diadakan juga, kecualilah jika kita mahu sistem Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) sekali lagi.

Pandangan sesetengah penganalisis nampaknya lebih melihat kepada kritik atau isu dibawa pembangkang, sedangkan kritikan dalam BN dan UMNO sendiri, pada hemat saya perlu juga diambil kira secara serius sebelum keputusan mengadakan PRU Ke-13 dibuat.

Sejarah menunjukkan kritikan atau isu dalam BN dan UMNO perlu ditangani dengan tuntas atau cekap. Bukan semua kritikan di kalangan ahli BN atau UMNO menentang kepemimpinan. Ini yang gagal difahami sesetengah pemimpin UMNO. Jika kritikan dalaman gagal diselesai, tidak mustahil UMNO sekali lagi berdepan masalah seperti sebelum ini.

Mengenai sokongan akar umbi di luar bandar, pemimpin UMNO khususnya perlu meneruskan usaha merakyatkan parti sehingga terjalin hubungan mesra rakyat. Soalnya adakah rakyat sekarang sudah mula menerima BN dan UMNO? Saya masih ragu-ragu tahap sokongan rakyat, terutama di bandar dan luar bandar.

Dalam beberapa pilihan raya kecil, sokongan orang Melayu terhadap BN dan UMNO tidaklah memberangsangkan, walaupun menunjukkan peningkatan.

Justeru, transformasi UMNO bukan saja harus ditumpukan kepada pimpinan peringkat atasan dan negeri, malah juga pada peringkat bahagian dan cawangan.

Jika semua faktor di atas dapat diambil kira dengan baik, tidak salah Najib mengadakan PRU Ke-13 lebih cepat. Beliau mahukan mandat semua rakyat, itu sudah menjadi lumrah politik demokrasi. Perdana Menteri berasakan bahawa mandat yang diberikan rakyat sejak 2008 lalu perlu diperbaharui.

Beliau perlu mendapat sokongan padu rakyat dan juga perlu mendapat semula kuasa kerajaan memerintah di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan jika tidak pun Kelantan. Agak keterlaluan dikatakan mandat PRU Ke-12 adalah mandat yang diberikan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, manakala Najib hanya meneruskan mandat itu yang sepatutnya berakhir pada 2013.

Perlu diingat, apakah semua isu rasuah perlu diselesaikan terlebih dulu, baru PRU Ke-13 hendak diadakan? Itu tidak mungkin. Yang penting, sudah ada kesungguhan kerajaan membanteras segala macam isu seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan ia sudah cukup sebagai suatu kewajaran mengadakan PRU Ke-13, jika mahu ia dipercepatkan.

Walau apapun faktor dikemukakan sebagai asas mengadakan PRU, pada hemat saya, faktor ekonomi adalah yang terpenting. Ini adalah reality politik demokrasi di Malaysia. Jika ekonomi lemah, lazimnya sokongan rakyat akan berkurangan.

Sebab itu, sekali lagi Dr Mahathir melihat faktor ekonomi sebagai asas cadangan beliau supaya PRU Ke-13 diadakan sekarang. Sebagai ahli akademik, saya juga berasa demikian. Sebabnya, kemerosotan BN/UMNO pada PRU Ke-3 (1969), Ke-10 (1999) dan Ke-12 (2008), jelas memperlihatkan faktor ekonomi yang kurang memberangsangkan ketika itu sebagai faktor nombor satu, selain faktor bukan ekonomi dalam mempertimbangkan sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Dengan ekonomi makin berkembang, Keluaran Kasar Negara (GNP) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat, dengan petanda gaji kakitangan swasta dan kerajaan akan naik, harga barang stabil, subsidi kekal dan pelbagai lagi petunjuk politik, maka kewajaran mengadakan PRU Ke-13 sekarang mungkin berasas.

-B/Minggu-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan