Benar Kata Nazri, Perkasa dan Gertak Hidup Kerana Mahathir

Mohd Sayuti Omar

SAYA bersetuju dengan pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Nazri Aziz yang mengatakan Perkasa dan Gertak akan lenyap kalau tidak dengan sokongan Mahathir Mohamad. Kewujudan Perkasa yang dipimpinan oleh Encik Ibrahim Ali jelas ianya idea dan ilham Mahathir. Malahan mungkin perbelanjaan untuk menubuhkan Perkasa peringkat awal disponsor sepenuhnya oleh Mahathir?

Dari mula lagi saya menyedari bahawa Perkasa akan menjadi platform untuk Mahathir melemparkan pandangan, mengkritik pembangkang dan juga kerajaan di samping bagi dijadikan ruang riadah akalnya. Jadi Encik Ibrahim Ali orang yang taksub kepada Mahathir sampai ku punggung, menyediakan wadah berkenaan. Setelah menyedari itulah maka saya dan beberapa rakan lain yang terlibat dalam peringkat awal penubuhan Perkasa mengundur diri Perkasa.

Mahathir begitu terdesak untuk mendapat ruang bagi beliau bergerak. Pergerakannya ketika itu terhad bila mana beliau di halang oleh kerajaan dan partinya sendiri. Justeru bagi membuka ruang untuknya terus berpolitik maka perlu difikirkan satu platform bagi membolehkan dia jadikan pentas untuk bernostalgia dan mengacam orang lain.

Ibrahim lalu mengambil inisiatif menghimpun mereka yang tersisih dari Umno. Di carinya beberapa orang dari pelbagai profesional untuk mencerminkan Ngo itu sebuah badan yang profesional dan bersemangat Melayu. Dalam soal membodek dan mengajak orang ini, Ibrahim memang pintar.

Setelah ia berjaya ditubuhkan Ibrahim mengambil kesempatan atas penubuhan itu untuk mempamerkan dirinya sebagai hero Melayu. Itu saja. Para pengikut Perkasa kebanyakan mereka yang berminat dan suka dengan stail politik Mahathir. Rata-rata mereka ini yang diketepikan oleh Abdullah Badawi dan tidak berapa dipeduli oleh Najib Razak.

Mengenai penjelasan Nazri kerajaan tidak terbabit dengan penubuhan Ngo itu juga benar. Memang kerajaan khasnya Umno tidak ada kena mengena dengan penubuhan Perkasa. Yang terhingin dan yang tersengih lapar kepada Umno ialah Perkasa, bukannya Umno. Bagi Umno bila ada perkakasan tambahan sangatlah disuakinya.

Yang jelas presidenya Encik Ibrahim yang menggunakan Perkasa untuk menunjukkan kekuataan dan pengaruhnya. Kononnya beliau sama hebat dengan Anwar Ibrahim. Ibrahim sudah lama mengidam untuk jadi macam Anwar. Berbagai cara dilakukan tetapi tidak menjadi. Ibrahim tetap Ibrahim yang tidak akan mencapai standard Anwar. Dalam percakapan mengenai jatuh bangun dalam politik Encik Ibrahim selalu menceritakan dia adalah mangsa dengki dan kebencian. Orang dengki kononnya kerana dia hebat! Katanya Anwar juga pernah dengki dengannya?

Malang juga bagi Ibrahim sampai kini Najib masih belum mempercayai akan kehebatannya dan Najib sedang menilainya. Begitu juga dengan Umno Kelantan masih belum mahu memberi laluan untuk Ibrahim bercawat kotel semula dalam parti itu. Tidak banyak ahli Umno Kelantan yang memohon agar Ibrahim kembali semula ke parti itu.

Ada juga maklumat Ibrahim sedang menggerakkan Perkasa untuk menyertai pilihan raya umum akan datang. Ada usaha untuk menjinakkan Tengku Razaleigh Hamzah agar mensponsor semua calon bebas - Perkasa di Dewan Undangan Kelantan. Usaha ini katanya sedang berjalan.

Saya cukup yakin kalau Mahathir tidak memberi sokongan, Perkasa dan Gertak akan mati beragam begitu saja. Ataupun kalau takdir Umno menerima Encik Ibrahim Ali, maka Perkasa akan menjadi perkasam. Kalau ini berlaku maka maksud utama Ibrahim itu mencapai sasarannya.

Apa yang diperjuangkan Perkasa sebenarnya lebih lajak dari lajunya. Ngo yang membesar dengan dokongan kebendaan, menjual dan menjaja diri tidak akan kekal lama. Ia umpama kokokan sang salentia di musim hujan saja. Bila tiba hujan di padang riuh sang salentia akan berkokok selepas habis hujan, maka suara itu pun akan senyap sendu, hinggalah musim hujan akan datang baru terdengar pula jeritan dan pekikan mereka.

Dipercayai bila hampir tiba pilihan raya umum suara Perkasa akan jadi lebih lantang lagi mengkritik pembangkang dan linak memuja Umno.

Umno atau pembangkang tidak perlu risau kepada Perkasa. Ia tidak berapa perkasa sangat kecuali suaranya saja kuat meraung, sedangkan kesan dan bisanya tidak seberapa. Kelantangan Perkasa hari ini tak ubah seperti gerabak keretapi kosong saja, yang kuat berdaung tetapi tidak ada benda apa di dalamnya.

http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan