Khatib menangis sebak baca khutbah Jumaat

rozmal

Pada Jumaat 18 Jun 2010 saya bersolat Jumaat di Masjid Bandar Baru Senawang. Tajuk khutbah Jumaat pada hari tersebut ialah berkenaan berbuat baik kepada ibu bapa. Khatib baca khutbah dengan penuh semangat dan amat menghayatinya. Khatib didapati sering tersedu apabila membaca khutbah yang menyentuh kasih ibu. aka nada ketika kedengaran khatib menangis sebak dan terhenti sebentar membaca khutbah.


Yang khatib amat teresak menangis apabila membacakan dibawah ini :


Kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Sehinggakan untuk memasuki gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan bantuan ibu.


Inilah kali pertama saya dengar teks khutbah yang begitu menyentuh perasaan hinggakan semua jemaah tergamam mendengarkannya.


Dan inilah yang sepatutnya JAKIM buat setiap minggu, menyediakan teks khutbah yang praktikal yang menyentuh isu semasa, isu gejala sosial yang semakin parah, isu bunuh diri, isu buang bayi, isu buang ibu bapa dan sebagainya.


Kepada mereka yang tidak berkesempatan mendengar khutbah tersebut, mungkin sebab uzur, atau dari golongan wanita atau mungkin terlelap tetapi bukan tidur, di bawah ialah tek khutbah yang paling bagus untuk kita semua.

Sebelum ini saya ada menulis artikel Khutbah Jumaat semakin membosankan BORING di http://waghih.blogspot.com/2010/05/khutbah-jumaat-semakin-membosankan.html


Nampaknya teks khubtah JAKIM kali ini tidak membosankan dan tidak boring, terutama yang menyentuh bab mengadakan kenduri tahlil untuk ibu bapa yang sudah meninggal dunia.

*****************

Dari laman web JAKIM http://www.islam.gov.my/khutbahjakim/


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


“PENGUKURAN KASIH SAYANG TERHADAP IBU BAPA”

(18 JUN 2010 / 5 REJAB 1431H)


Muslimin yang di Rahmati Allah,


Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.


Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “PENGUKURAN KASIH SAYANG TERHADAP IBU BAPA”.


Muslimin yang di Rahmati Allah,


Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar pengorbanannya. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.


Marilah kita merenung kembali semasa kita kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibu bapa kita, merekalah yang memberi susu kepada kita, menyuap makanan ke mulut kita, memandikan kita, memakai pakaian kepada kita, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita, menghantar kita ke sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari.


Kasih ibu bapa kepada anak-anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang -malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari anak kerana menginsafi anak itu adalah lahir dari kandungannya yang dijaga penuh selama sembilan bulan.


Mimbar menyeru ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Baca selanjutnya di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan