Tun M jangan tempah nama bapa judi

Mohd Rashidi Hasan

SETIAP insan yang bergelumang dalam dunia politik, atau mereka yang bergelar ahli politik, kebiasaannya bertekad untuk memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

Khidmat orang politik yang menjadi pemimpin dalam negara, mahu pun dalam sesebuah organisasi, kebiasaannya akan tercatat dalam sejarah, sama ada dalam bentuk simpanan atau pun dijadikan silibus pendidikan.

Untuk jangka panjang jasa-jasa pemimpin dan stail politiknya akan menjadi panduan kepada generasi yang akan datang.

Oleh sebab itu, tiada ahli politik yang mahu namanya tercemar atau dibusukkan atas sesuatu perkara, sama ada berpunca dari orang lain atau dari dirinya sendiri.

Malangnya sesetengah ahli politik, barangkali oleh kerana merasakan kedudukannya terlalu hebat, idea-ideanya bagus, maka dia sering mengeluarkan pelbagai kenyataan, tanpa menyedari akhirnya kenyataan-kenyataan tersebut akan 'memalitkan najis ke mukanya sendiri.'

Contoh klasik ialah, seorang ahli politik yang cukup ternama dalam negara, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apa pun persepsi rakyat terhadapnya, lebih 22 tahun pemerintahan Mahathir, dianggap cukup hebat, malah beliau digelar sebagai Bapa Pembangunan Malaysia Moden.

Selepas bersara dari parti dan kerajaan pada November 2003, beliau diberikan penghormatan sebagai negarawan yang banyak berjasa dalam negara.

Kebiasaannya bagi orang yang sudah bersara, mereka tidak mencampuri urusan parti dan kerajaan yang telah diwariskannya kepada orang lain.

Namun Dr Mahathir adalah spesies yang berbeza. Beliau jenis tidak duduk diam, rajin bercakap, rajin menulis, walaupun sudah bersara, tetapi beliau tetap bersuara.

Memang tiada halangan untuk beliau bersuara. Selaku negarawan, beliau berhak bercakap soal kepincangan dalam kerajaan, soal wawasan negara, soal politik, ekonomi, perpaduan dan sebagainya.

Ketepi soal politik kepartian, ketepi soal perkauman, memang pun, sebagai generasi muda, kita amat memerlukan nasihat-nasihat orang yang banyak jasa dan pengalaman seperti Dr Mahathir.

Namun kadang-kadang, terlalu banyak bersuara ada juga tidak baiknya. Tidak dalam semua perkara nasihat atau pandangan orang seperti Dr Mahathir boleh diterima.

Pada penulis kenyataan Dr Mahathir mengenai judi, amat tidak boleh diterima sama sekali, sebaliknya memalukan dirinya sendiri.

Dalam reaksi beliau mengenai judi sukan dan wujudnya banyak penentangan rakyat terhadap kelulusan judi sukan, Dr Mahathir memberikan respon, "Jika saya jadi kerajaan, saya luluskanlah."

Apakah wajar sebagai seorang Islam, Dr Mahathir mahu judi sukan dihalalkan? Tidak mengapalah penulis tidak mahu menyentuh soal hukum hakam.

Soal agama dan hukum, ramai ulama-ulama Umno yang ada di sekeliling beliau. Tanggungjawab mereka menasihatkan pemimpin Umno dalam urusan tersebut, jangan jadi ulama bisu pula.

Namun, rakyat juga bertanya, mengapa Dr Mahathir beriya-iya menyokong judi sukan atau menyokong kelulusan lesen untuk membenarkan sukan diperjudikan.

Adakah kerana beliau hendak menyatakan sokongan kepada PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, yang menghadapi tekanan dalaman Umno yang kebanyakannya menentang kelulusan judi sukan?

Atau adakah beliau menyokong kerana tauke judi Tan Sri Vincent Tan, merupakan sahabat karib beliau dulu, kini dan selamanya?

Aktiviti perjudian yang dilesenkan dalam negara sudah cukup banyak. Berlambak-lambak dipaparkan urusan perjudian di dalam akhbar dan kedai-kedai judi tepi jalan bersepah-sepah dalam negara.

Judi sudah cukup banyak. Tidak payah dilesenkan lagi. Tidak usahlah kita beritahu kepada dunia bahawa masyarakat berbilang kaum dalam 'negara Islam' Malaysia ini, adalah masyarakat yang 'gila judi'.

Justeru dalam soal ini, penulis berpendapat, Dr Mahathir tidak payahlah cakap hal-hal judi, banyak lagi perkara yang beliau boleh suarakan. Malu pada anak cucu cicit nanti.

Pada usia extra-emas, Tun (Dr Mahathir) sudah cukup matang dan seharusnya sudah memahami akibat buruk daripada gejala perjudian.

Judi dan tabiat berjudi, memang buruk kepada masa depan anak bangsa, tanpa mengira dia Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan atau sebagainya.

Nama Tun dalam sejarah negara sudah cukup baik. Gelaran Bapa Pembangunan Malaysia Moden akan dikenang sepanjang zaman oleh generasi yang akan datang.

Justeru, oleh kerana itu, usahlah Tun calarkan sejarah peribadi Tun, dengan menerima gelaran 'Bapa Judi Negara' pula. Moga muhasabah ini memberi manfaat buat Tun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan