Umno membisukan ulama

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi
1. Kesempatan saya menziarahi bumi Sana'a dimanafaatkan sepenuhnya untuk bermujaalasah bersama ulama'-ulama' al amilin yang hebat dan terbilang di Yaman. Insyaallah, saya akan ceritakan kemudian beberapa mutiara ilmu dan berkongsi pengalaman berharga dengan sahabat-sahabat sekelian.

2. Ulama' adalan insan yang dimuliakan oleh Allah swt dengan ilmu dan keperibadiannya yang menepati ilmu yang dimiliki. Pun begitu, sebahagian ulama' ada yang mendapat kemurkaan dan kutukan Allah swt lantaran mereka mengkhianati ilmu yang dimiliki.

3. Menjual agama demi mendapatkan habuan dunia, mendiamkan diri tatkala berdepan maksiat dan mungkar, menyembunyikan kebenaran dan bertindak tidak berasaskan ilmu adalah contoh pengkhianatan terhadap ilmu Islam. Ulama' yang mengkhianati ilmu dan agama Islam ini turut digelar sebagai ulama' as Suu' [jahat] atau Syaithan Akhras [bisu].

4. Sehari dua ini riuh rendah negara dengan berita kononnya 100 ulama' yang bertaraf sarjana dan memiliki Phd akan menyertai Umno. Berita ini sekali lagi menjadi fenomena sensasi negara, mungkin untuk menghiburkan rakyat yang sedang menderita ekoran peningkatan kadar jenayah dan kemungkaran yang melampau atau mengalih pandangan rakyat dari isu-isu negara [seperti: rasuah, judi dll] yang menuntut kesedaran dan kebangkitan mereka untuk membuat perubahan.

5. Umno dan BN adalah sebuah parti yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan mereka malah aktiviti mereka kadangkala tidak menghiraukan dosa dan pahala. Bahkan kerajaan yang mereka pimpin juga sering menganjurkan kemungkaran tanpa sedikitpun rasa bersalah sebaliknya mereka pertahankan segala dasar yang bertentangan dengan wahyu Allah swt.

6. Ulama' sebagai institusi yang hampir dengan agama dan dekat pula dengan Allah swt sewajarnya arif dan faham, dimanakah wajarnya untuk menempatkan diri mereka agar diredhai oleh Allah swt. Mereka jua selayaknya bijak menilai flatform manakah sesuai untuk mereka berperanan dan menjalankan tugas mengimarahkan ilmu yang mereka miliki.

7. Umno dan BN bukanlah sukar untuk dinilai. Malah sebelum ini UMNO pernah dianggotai oleh para alim ulama' sehingga wujudnya biro agama dalam Umno. Tetapi sejarah telah memahat satu iktibar yang perlu diinsafi sepanjang zaman oleh semua termasuk para alim ulama' sendiri. Membantah kemungkaran yang dilakukan oleh UMNO pada waktu itu termasuk judi yang dihalalkan oleh UMNO, maka sekumpulan ulama' yang dipimpin oleh Al Fadhil Ustaz Ahmad Fuad Hassan, Al Fadhil ustaz Hj Ahmad Maliki, Al fadhil ustaz Hj Ahmad Badawi, Al Fadhil Tuan Guru Tuan Hj Ahmad Tuan Husein, Al Fadhil Tuan Hj Mansur dan ramai lagi telah keluar daripada UMNO lalu menubuhkan persatuan Ulama' Se Malaya dan kemudiannya menjadi Persatuan Islam Se Malaya dan kini PAS [Parti Islam Se Malaysia].

8. Realitinya UMNO tidak sesuai untuk ulama' berperanan dan berfungsi sebagai pejuang, pemimpin serta penyelamat ummah yang meletakkan kepentingan agama mengatasi segalanya. Kecuali ulama' kelas kedua seperti ulama' dunia, ulama' jahat, ulama' cari makan, ulama' kuda kepang, ulama' terompah kayu dan ulama' bisu.

9. Ulama' yang masih kekal berada di dalam UMNO sehingga hari ini ialah ulama' bisu yang hanya mampu melihat kemungkaran dan kemaksiatan berlaku dihadapan mereka tanpa mereka mampu berbuat apa-apa. Sebaliknya ulama'-ulama' ini dijadikan alat untuk menyerang PAS. Mereka diam membisu tanpa sepatah kalimah apabila kerajaan menambah dan meluluskan lesen judi. Mereka membutakan mata dan memekakkan telinga tatkala berdepan dengan aktiviti mungkar yang dianjurkan oleh kerajaan UMNO dan BN. Lebih menyedihkan apabila ulama' ini diperlaku bagaikan lambakan kain buruk yang tidak bernilai dan hanya digunakan bila perlu. Itu pun sekadar untuk membaca doa di majlis keraian, mengeluarkan fatwa menyokong tindakan kerajaan dan berhujjah menghadapi hujjah dari PAS.

10. Menyertai UMNO seperti terperangkap di pasir jerlus. Sukar untuk menyelamatkan diri. Nilai hebat sebagai ulama' tidak diiktiraf sebaliknya mereka tidak ubah seperti orang awam malah lebih rendah daripada itu apabila peranan mereka dibatasi dan dihalang. Entah tidak diketahui sejak bila pula UMNO tahu menilai dan menghargai ulama' kecuali ulama' sering menjadi bahan cercaan pemimpin-pemimpin mereka. Hanya sehari dua ini UMNO berteriak mencari sokongan dan menggamit alim ulama' menyertai parti mereka. Jelas kelihatan mereka sangat desprade untuk mengekalkan pengaruhi mereka dikalangan ummat Islam.

11. Bagaimana mahu menambah 100 orang lagi ulama'? jika ulama' yang sedia ada seperti Datuk Jamil Khir, mufti-mufti seluruh negara, Datuk Mashitah, Datuk Nakhaei, Hamid Othman, Yusuf Noor dan ramai lagi tidak dilihat mampu berfungsi dan berperanan membawa UMNO keluar dari perangkap jahiliyyah moden yang bertunjangkan fahaman sekular.

12. Isu ini menjadi menarik apabila sahabat saya Al Fadhil Dr Asri Zainal Abidin turut dikaitkan sebagai salah seorang dari 100 ulama' yang akan menyertai UMNO. Saya berdoa agar Dr Asri dan para alim ulama' tidak menyertai UMNO untuk meperkasakan dan memperkuatkan lagi perjuangan UMNO dan BN yang bathil. Bahkan hati kecil saya merasakan bahawa Dr Asri tidak akan menyertai UMNO. Kerana menyertai UMNO dan BN akan mencemarkan kewibawaan beliau sebagai seorang ulama' yang disegani dan dihormati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Wallahua'lam bissowab, hidayah dan petunjuk adalah milik Allah swt dan ia mengurniakannya kepada siapa yang ia kehendaki.

13. Platform yang paling sesuai dan terbuka sebagai ruang untuk mereka para alim ulama' berfungsi dan berperanan mendaulatkan syariat dan memartabatkan syiar agama Allah swt ialah Parti Islam Se Malaysia [PAS].

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan