Mata wang syariah: Nik Aziz bidas kerajaan pusat ‘hentam’ Kelantan

Mata wang syariah dinar dan dirham yang dilancarkan oleh kerajaan negeri Kelantan minggu lalu.
KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempersoalkan tindakan pusat dan pemimpin Umno yang “menghentam” kerajaan Kelantan yang melancarkan penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham di negeri itu minggu lalu.

Nik Aziz berkata Umno akan terus membangkang apa sahaja usaha baik yang dilakukan kerajaan negeri untuk rakyat di negeri itu.

“Kadang-kadang tingkah laku pemimpin Umno mudah untuk dijangka, apa saja yang baik datang dari Kelantan pasti akan dibangkang habis-habisan oleh Umno.

“Sebut sahaja usaha baik yang dilakukan kerajaan Kelantan, berduyun-duyun pemimpin Umno menunjukkan cerdik memberi komen,” kata beliau dalam kenyaatan dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, sejak PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 sehingga kini ada sahaja bangkangan yang dibuat kerajaan pusat.

“Cuti dua hari seminggu digelar sebagai ‘budaya pemalas’, akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya.

“Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru,” katanya.

Mursyidul Am PAS itu berkata, bantahan terbaru yang dibuat terhadap kerajaan Kelantan adalah mengenai penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham di negeri itu.

“Bila kerajaan negeri lancarkan penggunaan penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham, maka bersatulah pemimpin Umno untuk menghentam langkah ini.

“Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta kerajaan pusat dan pemimpin Umno menghentam kerajaan Kelantan,” katanya.

Nik Aziz juga mempersoalkan tindakan kerajaan pusat yang menghalang usaha kerajaan negeri Kelantan untuk membuat perubahan dalam pembangunan ekonomi negeri itu.

“Saya ingin nyatakan, apa salahnya jika Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika kerajaan pusat atau pemimpin Umno enggan memulakannya, janganlah menidakkan usaha pihak lain,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa penggunaan mata wang syariah bukan mata wang, tetapi hanya pengenalan kepada sistem pertukaran barang.

“Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini.

“Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan. Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak.

“Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan bilion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti,” tegasnya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan