Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Sambil mendakwa kes buang bayi antara lain berkaitan dengan kebebasan sambut Hari Kekasih dan Tahun Baru, bagi mencari jalan penyelesaian Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan sidang meja bulat minggu depan.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Azman Shapawi Abdul Rani, sidang media bulat akan diadakan bagi membincangkan isu zina, rogol dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa sekarang.
“Kita akan adakan sidang meja bulat ini pada 22 Ogos bagi membincangkan isu yang semakin hebat diperkatakan sekarang.
“Melalui sidang meja bulat ini kita akan membincangkan tentang punca dan jalan penyelesaian mengenai perkara itu (pembuangan bayi),” katanya.
Beliau berkata terdapat beberapa aspek yang menyebabkan berlakunya kes pembuangan bayi termasuk pergaulan bebas dan penganjuran konsert hiburan.
“Isu ini bukan isu kecil tapi ia adalah satu isu yang besar. Ia melibatkan semua golongan masyarakat di negara ini.
“Bagi kita ini bukan isu kerajaan sahaja tetapi adalah kesedaran kepada masyarakat,” katanya.
Menurut Azman Shapawi, Pemuda PAS telah menghantar surat jemputan kepada parti politik termasuk Umno dan NGO bagi membincangkan isu tersebut.
“Kita sasarkan 50 organisasi akan menyertai sidang meja bulat ini kerana ia adalah satu alternatif bagi membincangkan isu buang bayi.
“Setakat ini tiada lagi pihak yang mengesahkan kehadiran tetapi apa yang penting adalah pada 23 Ogos nanti.
“Kita juga harap supaya Umno juga dapat hadir bagi membicangkan perkara ini,” katanya.
Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu itu juga berkata penganjuran sambutan Tahun Baru dan Hari Kekasih juga merupakan salah satu punca berlakunya kes tersebut.
“Kita lihat banyak kes kelahiran berlaku pada bulan Ogos dan September, ini menunjukkan hubungan tersebut dilakukan pada sambutan Tahun Baru sebab itu kita lihat banyak kes pembuangan bayi berlaku dalam dua bulan ini.
“Dalam Islam sambutan Hari Kekasih tidak digalakkan tapi kalau nak buat kenduri itu tidak mengapa tetapi tidak hubungan terlarang.
“Jadi ini yang menjadi masalah apabila media seolah-olah menggalakkan sambutan Hari Kekasih dalam akhbar-akhbar tempatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan