Polis Anggap Dakwaan Timbalan Menteri Dalangi Pelacuran Sebagai Tohmahan

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat laporan kononnya seorang timbalan menteri merupakan dalang kegiatan pelacuran walaupun Pengarah Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berpendapat ianya satu tohmahan.

Mohd Bakri berkata beliau menganggap laporan itu sebagai satu tohmahan kerana ia bukannya dibuat oleh mangsa sendiri tetapi oleh orang ketiga yang mendakwa mendapat emel daripada mangsa.

"Kita tidak tahu siapa mangsa yang didakwa itu. Namun kita akan tetap menyiasat, dan jika perkara itu betul, kita akan lakukan tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini pada Isnin ketika mengulas mengenai laporan yang dibuat oleh seorang ahli politik pada 14 Ogos lepas mendakwa timbalan menteri itu terlibat dalam kegiatan pelacuran kelas atasan termasuk membekalkan gadis terdiri pelajar kolej bagi tujuan tidak bermoral.

Ahli politik terbabit membuat laporan polis berdasarkan surat dan emel yang diperoleh daripada seorang gadis yang mendakwa menjadi mangsa timbalan menteri itu, yang turut didakwa terlibat dalam kegiatan dadah dan menggalakkan gangsterisme sekitar tahun 2000 dan 2001.

Mohd Bakri berkata polis belum bercadang untuk memanggil timbalan menteri berkenaan untuk memberikan keterangan.

"Kita kena tengok dahulu adakah laporan itu berunsur tohmahan atau tidak dan baru kita membuat keputusan. Kita kena kenal pasti mangsa seperti yang didakwa terlebih dahulu," katanya.

Mengenai dakwaan kononnya tujuh lagi wanita kaum Penan dieksploitasi untuk tujuan seks di Baram, Sarawak, beliau berkata hingga kini tiada sebarang saksi tampil kepada polis manakala sekumpulan 36 badan bukan kerajaan (NGO) yang yang kononnya mahu memperjuangkan nasib kaum Penan, masih gagal memberi sebarang maklumat yang dapat membantu siasatan.

"Kita telah menubuhkan satu lagi pasukan khas baru yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan telah pergi ke Baram untuk menyiasat perkara itu.

"Namun kami tidak menemui sebarang kes baru seperti yang didakwa mereka, malah tiada laporan baru polis dibuat di sekitar Sarawak. Kalau tiada mangsa tampil atau tiada maklumat dari yang mendakwa, bagaimana kita hendak siasat?" kata Mohd Bakri.

Beliau berkata tidak timbul soal kononnya polis bersekongkol dengan mana-mana pihak untuk menutup apa-apa juga kejadian yang tidak diingini dan menyalahi undang-undang.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan