Tidak belajar ilmu akhirat punca masalah sosial

Salmah Mat Husin & Foto Rizal Tahir
KOTA BHARU, 16 Ogos:
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru para pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah memanfaatkan ilmu yang ada sebaik mungkin.

Katanya, gejala sosial yang berlaku di negara ini seperti jenayah, pembuangan bayi, dadah, pecah rumah dan sebagainya, hanya kerana mempelajari ilmu dunia semata-mata dan tidak mendalami ilmu akhirat.

“Mereka tidak belajar agama Islam yang berakhir dengan akhirat menyebabkan jenayah dan sosial semakin teruk berlaku," ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan golongan terbabit meneruskan perjuangan Islam yang diusahakan pejuang zaman kini.

Katanya, bersesuaian dengan ilmu Islam yang dipelajari, masyarakat mengharapkan mereka meneruskan kesinambungan perjuangan Islam untuk masa yang akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan pelajar Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang akan meneruskan pengajian mereka ke Mesir, Jordan dan Morocco.

Seramai 283 orang pelajar yang bakal meneruskan pengajian dalam pengajian Islam, tahfiz, kedoktoran bakal berlepas ke negara terbabit pada bermula 18 Ogos hingga 4 Oktober ini.

Sementara itu, sebanyak RM28 300 telah disumbangkan oleh Tabung Kebajikan Badan Perhubungan PAS Kelantan kepada pelajar.

Tabung yang dipengerusikan oleh Datuk Mohd Amar Abdullah itu diberikan sebagai menghargai pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian mereka ke Timur Tengah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan