Cuma Bantu Polis, Usharani Nafi Ditaja Tiket Penerbangan

BANTING 29 SEPT: S Usharani, isteri kepada usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja yang dilapor hilang di negara ini sejak awal tahun ini, berkata kedatangannya ke Malaysia hanya untuk membantu polis berhubung kehilangan suaminya dan tiada kepentingan lain.
Beliau hanya memberi keutamaan kepada kes itu dan tidak mahu tahu mengenai segala harta yang dimiliki suaminya.
"Saya harap polis dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin supaya saya dapat pulang ke Ramapuram, Chennai dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan selama sembilan jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini, semalam.
Usharani, 24, tiba di IPD berkenaan jam 9 pagi bersama seorang lelaki yang tidak dikenali dan dijangka menyambung keterangannya dalam tempoh dua hari lagi.
"Saya juga diminta datang balik ke Malaysia untuk menjadi saksi utama bagi memberi keterangan kes ini jika suspek didakwa di mahkamah," katanya.
Beliau juga menafikan khabar angin kononnya ada pihak ketiga yang menaja tiket penerbangannya ke Malaysia dan meminta media tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu.
Sebelum ini, Usharani membuat laporan mengenai kehilangan suaminya pada 8 September lalu dan memberi keterangan berhubung perkara itu di IPD sama pada 23 September.
Terdahulu, empat wanita dan seorang lelaki yang dipercayai kakitangan firma guaman milik suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, dilihat memasuki premis itu jam 11.15 pagi dengan diiringi empat anggota polis.
Mereka kemudian meninggalkan premis berkenaan kira-kira pukul 12.50 tengah hari dengan membawa keluar beberapa ikatan fail yang diletakkan ke dalam tiga kenderaan.

Tinjauan Bernama di Ladang Gadong lokasi yang dipercayai lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya yang lain, mendapati tiada anggota polis berkawal di pintu masuk ladang itu sebagaimana sebelum ini.
Kawasan itu lengang dan difahamkan tiada sebarang operasi dilakukan anggota forensik polis bagi mencari bukti terbaru berhubung kes itu.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan