Ahmad Maslan Dan Najib Ibarat Cacing Kepanasan

Mohamed Hanipa Maidin
Apabila keputusan Mahkamah memihak kepada para peneroka Felda Kemahang, pihak yang bertanggungjawab menjaga Felda menyatakan bahawa sebenarnya kekalahan itu kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Kini apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan memihak kepada peneroka Sungai Koyan, Ahmad Maslan dan Najib bertungkus lumus menyatakan bahawa sebenarnya Felda tidak kalah .

Najib dan Ahmad Maslan masih lagi di dalam “denial syndrome” ( sindrom penafian ) –tidak dapat menerima dua keputusan Mahkamah yang menyebelahi peneroka dan tidak menyebelahi Felda.


Maka bagi menegakkan benang basah kedua-dua pemimpin ini nampak sangat terkial-kial cuba menyelamatkan imej Felda yang terguris teruk di sini sana. Hakikatnya semakin mereka cuba mempertahankan Felda semakin jelas mereka tercungap-cungap !

Kita lihat dulu kes Felda Kemahang. Felda menyatakan bahawa institusi tersebut kalah kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Secara tersirat Felda ingin menyatakan bahawa peneroka menang kes tersebut bukan kerana kes mereka kuat.

Persoalannya benarkah Felda kalah hanya kerana semata-mata peguam Felda tidak hadir di Mahkamah ? Memang mudah untuk menipu rakyat dengan berselindung di sebalik hujah ini. Namun Najib dan Ahmad Maslan kena ingat pepatah Amerika yang menyatakan “ kita boleh berbohong seseorang dalam sesuatu masa, tetapi kita tidak boleh bohong semua orang dalam semua masa”.

Ya, benar antara sebab Felda kalah dengan peneroka Kemahang kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Tetapi itu hanya sebahagian dari kebenaran. Kebenaran lain yang disorok oleh Najib dan Ahmad Maslan adalah meskipun peguam Felda tidak hadir, Hakim yang mendengar perbicaraan tersebut tidak memberikan kemenangan mudah kepada peneroka Felda Kemahang. Dalam bahasa undang-undang hakim tersebut tidak memasukkan penghakiman ingkar ( judgment in default ) ke atas Felda hanya kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Untuk makluman para pembaca penghakiman ingkar adalah penghakiman yang direkodkan oleh Mahkamah jika salah satu pihak tidak hadir di Mahkamah dan penghakiman tersebut dibuat tanpa Hakim mendengar keterangan dari pihak-pihak atau saksi-saksi mereka.

Dalam kes Felda Kemahang meskipun Felda dan peguam mereka tidak hadir di Mahkamah , Hakim Dato’ Azman Hussin masih mahu mendengar keterangan saksi-saksi peneroka sebelum membuat keputusan. Hanya setelah Hakim mendengar keterangan barulah hakim berpuashati bahawa terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa unsur penipuan dalam kes tersebut dan sekaligus Hakim memerintahkan Felda membayar peneroka-penerokan yang menyaman itu gantirugi RM 11 juta. Berdasarkan hal tersebut adalah TIDAK BENAR untuk Najib dan Ahmad Maslan menyatakan Felda kalah hanya kerana peguam Felda tidak hadir. Hakikatnya meskipun peguam Felda tidak hadir kes tersebut masih boleh menyebelahi Felda jika Hakim , setelah mendengar saksi pihak peneroka, merasakan peneroka telah gagal membuktikan kes mereka.

Kita lihat pula isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan di dalam kes para peneroka Sungai Koyan 2 dan 3. Ahmad Maslan berkata, laporan akhbar Harakah yang berjudul “Felda Kalah Lagi” mengelirukan dan tidak tepat. "Kalau Felda kalah, sudah tentu rayuan akan dibuat sebaliknya keputusan mahkamah itu dengan jelas menyatakan peneroka hanya berhak dapat tuntutan mereka jika patuh kepada prosedur Felda. Jadi, tindakan saman itu hanya merugikan mereka kerana terpaksa membayar khidmat peguam. Kalau mereka tak saman pun, kita tetap bayar," katanya pada sidang akhbar pada 7/10/2010.

Malah, menurut Ahmad, tiga daripada sembilan peneroka itu telah mula menerima bayaran semula daripada Felda kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Ahmad Maslan cuba bermain dengan logik. Logik beliau kalau Felda kalah sudah tentu Felda akan merayu. Oleh kerana Felda tidak merayu maka mengikut logik Ahmad Maslan Felda tidak kalah.

Baiklah jika itu logik Ahmad Maslan kita juga boleh menjawab dengan logik berikut. Jika Felda tidak kalah maka sudah tentu peneroka yang kalah .Dalam Mahkamah tidak ada keputusan seri. Jika peneroka kalah sudah tentu saman yang dikemukakan oleh peneroka akan ditolak oleh Mahkamah. Dan jika peneroka yang kalah sudah tentu peneroka yang kena buat rayuan.

Persoalannya bagaimana peneroka hendak dikatakan kalah jika apa yang mereka minta dibenarkan oleh Mahkamah meskipun tidak keseluruhan. Mereka meminta Mahkamah membuat perintah perisytiharan bahawa mereka dibenarkan tanam secara sendiri dan Mahkamh membenarkan perintah itu. Mereka juga meminta Mahkamah mengisytiharkan bahawa mereka layak diberi RM 1700 seeekar dan Mahkamah juga benarkan perintah tersebut. Hanya kerana Mahkamah menambah bahawa bagi tujuan bayaran RM 1700 seekar perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan tidak boleh ditafsirkan Felda menang dan peneroka kalah.

Sepertimana kes Felda Kemahang, Ahmad Maslan sekali lagi tidak mendedahkan kebenaran yang sebenar. Beliau menyatakan kalau tidak saman pun kita ( felda ) tetap akan bayar. Ini satu pembohongan yang amat terang dan nyata. Kalau Felda akan bayar apa yang diminta oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 mengapakah peneroka tersebut perlu bersusah payah pergi ke Mahkamah untuk mendapatkan hak mereka ? Kalau betul Felda akan bayar mengapakah Felda bertungkus lumus lawan para peneroka habis-habisan di Mahkamah ? Saksi Felda sendiri apabila disoal oleh saya bersetuju bahawa para peneroka perlu pergi ke Mahkamah kerana ingin mendapatkan keadilan. Lihat soal jawab berikut :-

Soalan ( S ): Sekarang ni bila Felda uruskan tanam semula, Felda guna duit dalam tabung,sebahagian duit itu sebahagian duit Plaintif,betul?

Jawapan ( J ) : Betul

S:Maknanya Felda diberi izin berdasarkan perjanjian ini untuk guna wang tabung tanam semula,duit itu yang sebahagiannya ada duit Plaintif.tapi bila peneroka nak tanam sendiri macam-macam syarat dikenakan.wajar tak wajar?

J: Wajar.

S:Kalaulah saya katakan Peneroka yang tanam melalui Felda mereka boleh guna RM 1,700,sepatutya hak yang sama diberikan kepada Plaintif,betul?

J:Betul

S:Tiba-tiba 2002 tak dapat langsung.adil ke tak?

J :Tak adil.

S:kalau tak adil tu la pergi mahkamah .tu la mereka pergi mahkamah untuk dapat keadilan.betul?

J: Betul

Ahmad Maslan menyatakan tiga daripada sembilan peneroka itu telah mula menerima bayaran semula daripada Felda kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Sekali lagi bercakap bohong jadi hobi Ahmad Maslan. Mengapakah Ahmad Maslan enggan menyatakan kebenaran bahawa semasa saksi Felda memberikan keterangan saksi Felda tanpa berselindung menyatakan bahawa ketiga-tiga peneroka itu hanya layak menerima RM 11,000 lebih sahaja setiap orang sedangkan berdasarkan garis panduan Felda sendiri mereka layak menerima RM 1700 seekar ( RM 1700 x 14 ekar = RM 23, 800-00 ). Jika 3 peneroka ini tidak saman Felda di Mahkamah apakah jaminan Felda setuju bayar mereka jumlah penuh sebanyak RM 23, 800-00 ? Apabila Mahkamah memutuskan mereka layak dibayar RM 1700 seekar tindakan Felda hanya bayar RM 11,000 lebih sahaja kepada 3 peneroka tersebut adalah jelas tidak betul.

Akhir sekali Ahmad Maslan menyatakan saman itu hanya merugikan para peneroka kerana mereka terpaksa membayar khidmat peguam. Mengapakah Ahmad Maslan tidak pula menyatakan bahawa tindakan Felda menggunakan peguam dan membayar kos peguam Felda yang tinggi juga membuang duit Felda sahaja hanya semata-mata Felda mahu tegakkan benang basah dan ingin menafikan hak peneroka. Oh mungkin bagi Ahmad Maslan tidak salah Felda membazir duit bayar yuran peguam Felda sebab duit Felda itu hakikatnya datang dari hasil penat lelah peneroka juga ! Bukankah lebih baik Felda bayar peneroka wang tanam semula dari bayar wang kepada peguam Felda bagi membela Felda untuk tidak mahu bayar wang tanam semula kepada peneroka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan