Razaleigh tetap jadi saksi tuntutan royalti

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 12 Okt: Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah Amar berkata Tengku Razaleigh tetap akan menjadi saksi berhubung tuntutan royalti minyak kerajaan negeri terhadap Petronas.

Katanya, kedudukan Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Umno BN Dun Galas perkara yang berbeza dengan kedudukannya sebagai saksi dalam tuntutan royalti itu.

“PAS tidak akan berkompromi berhubung perkara itu, lawan tetap lawan,” ujarnya ketika menjawab soalan media kemungkinan PAS akan bertolak ansur dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata Umno Pusat tidak yakin dengan kemampuan sendiri menyebabkan pemimpin tertinggi parti itu bertegas meletakkan Ku Li yang anggota Parlimen Gua Musang sebagai pengarah pilihan raya kecil itu.

Tambahnya, tidak sebagaimana biasa, mana-mana pilihan raya kecil akan diketuai Timbalan Presiden Umno sendiri termasuk pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Katanya, oleh kerana Umno sendiri tidak yakin dengan peluang mereka di Dun Galas, menyebabkan mereka melantik Ku Li sebagai pengarahnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Dewan Harian PAS negeri di JKR 10, di sini petang tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan