Bekas pembaca berita RTM Khairul Nisa Ter Abdullah mohon fasakh terhadap suami

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Selepas hidup bersama sebagai suami isteri selama 24 tahun, bekas pembaca berita RTM, Ter Ai Chin hari ini memfailkan permohonan fasakh terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Ai Chin atau nama Islamnya, Khairul Nisa Ter Abdullah, 55, mengemukakan permohonan tersebut ke atas Ahmad Abdullah, 62, yang merupakan bekas pengarah syarikat Phileo Allied Bank Berhad.

Wanita tersebut yang hadir pada pukul 12 tengah hari dengan berbaju kurung biru gelap dan bertudung hitam, ditemani peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakilinya.

Dalam permohonan tersebut, Ai Chin selaku plaintif menamakan Ahmad sebagai defendan.

Ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, Mohd. Zaidi memberitahu, permohonan tersebut dibuat mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Menurut beliau, Ai Chin mengemukakan permohonan tersebut setelah tiada persefahaman kerana seringkali berlaku perbalahan antara wanita itu dengan suaminya.

Mahkamah menetapkan 10 November ini bagi sebutan kali pertama permohonan tersebut.

Ai Chin mendirikan rumah tangga dengan bekas pengarah tersebut pada 10 Jun 1986 di Narathiwat, Thailand dan mereka kemudian bernikah semula di sini, 28 Jun 1989.

Sepanjang perkahwinan mereka, pasangan itu dapat dua anak iaitu Abdul Fattah Ahmad, 21, dan Fatin Ahmad, 20.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan