Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, saranan presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang menuntut semua pihak supaya jangan mempersoalkan kontrak sosial, tidak mencerminkan ketelusan oleh pimpinan Umno-BN."Kontrak sosial menerusi tanggapan apa? Adakah kontrak sosial membenarkan seseorang untuk makan rasuah?
"(Kalau) kerajaan nak cakap tentang kontrak sosial, kita nak tanya apa sudah jadi dengan saham berjumlah RM52 bilion yang sepatutnya diberikan kepada orang Melayu dan orang bumiputera miskin?" soalnya.
Lim mengulas konsep kontrak sosial yang diungkapkan oleh Najib pada ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno, semalam.
Pada ucapannya Najib menyorot peristiwa berkaitan perbalahan yang membabitkan perkauman pada abad ke-20 yang menyaksikan paparan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi “holocoust” di Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda.
Najib turut dikatakan menyeru kepada generasi rakyat Malaysia yang mengambil pendirian untuk mempersoalkan kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini.
Dalam pada itu, Lim mempertikaikan parti tunjang BN, apabila tidak menunjukkan sebarang langkah atau inisiatif yang proaktif untuk membela nasib golongan miskin Melayu dan bumiputera.
"Mengapa tidak ada Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengenalpasti siapa yang melesapkan wang ini? RM52 bilion sudah kena 'kebas'. Takkanlah mereka tak ambil peduli langsung. Itu yang jadi tanda tanya dan persoalan utama. Kontrak sosial untuk siapa. Untuk diri sendiri atau untuk rakyat?
"Kalau untuk diri sendiri, itu yang kita tentang, kerana kalau kita cakap tentang RM52 bilion, dia (Umno-BN) sendiri akui RM54 bilion yang diberikan tinggal RM2 bilion. Siapa yang ambil?" soalnya.
Justeru, Lim mempersoalkan tindakan pihak bertanggungjawab yang sepatutnya menghukum mereka yang didapati menyeleweng dan khianat kepada amanah yang diberikan.
"Kita tahu ini semua pemimpin dan kroni BN dan Umno yang dapat. Adakah kerana itu mereka tak mahu buat sebarang siasatan?" bidas Lim yang juga adalah ahli parlimen Bagan.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan