Konspirasi Liwat II : Kes Disambung Semula 25 Oktober

KUALA LUMPUR 14 Okt: Perbicaraan Kes konspirasi II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan disambung semula pada 25 Oktober depan, selepas sesi khas bagi mendengar keterangan dari saksi pihak pendakwaan, dijalankan hari ini.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memaklumkan, perbicaraan disambung semula pada tarikh itu yang mengikut jadual, selain dari dapat memberi ruang kepada Timbalan Pendakwaraya, Datuk Nordin Hassan yang akan ke Mekah pada 18 Oktober ini.

Prosiding bersambung jam 9.45 pagi ini dengan menyaksikan pasukan pendakwaan mengemukakan dua orang saksi mereka, yang terdiri daripada pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng dan pakar rawatan dan kecemasan HKL, Dr Khairul Nizam Hassan.

Kedua mereka tampil buat pertama kali dalam perbicaraan ini, disoal oleh Timbalan Pendakwaraya, Datuk Nordin Hassan, dengan soalan berkisar prosedur, peralatan dan kaedah pemeriksaan kesihatan ke atas pengadu, Saiful Bukhari dijalankan.

Dalam salah satu jawapan dari Dr Siew Sheue Feng atas soalan yang dikemukakan, beliau menjelaskan bahawa, adalah berkemungkinan berlakunya penembusan ke dalam dubur, tanpa sebarang kesan kecederaan.

Sementara jawapan yang dikemukakan oleh Doktor pertama yang membuat pemeriksaan ke atas pengadu, Dr Khairul Nizam Hassan menjawab, beliau menyatakan tidak ada bukti konklusif yang boleh menyatakan bahawa, tiada penembusan tanpa sebarang kesan kecederaan.

"Sebab itu kami nyatakan dalam kenyataan yang kedua," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya, Datuk Nordin Hassan.

Dalam pada itu, peguam pembantu Sankara Nair menjelaskan, tidak ada apa-apa perkara yang baru dalam kenyataan kedua saksi tersebut hari ini.

Pihaknya bersama peguam utama, Karpal Singh kini telah bersiap sedia untuk mengemukakan soalan balas kepada saksi pendakwaan, pada 25 Oktober depan.

"Kita akan jawab segala yang 'contradict' (bercanggah) dengan apa yang kita rasa ada. Kita telah bersiap sedia dan maklumat tersebut tidak boleh dinyatakan sekarang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan