Khalid dakwa Shaziman gagal selia projek sakit

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 29 Nov: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor gagal melaksanakan tugas dalam mengawal selia projek sakit.

Khalid berkata, kegagalan itu dapat dilihat dalam tiga aspek iaitu tender runding terus yang masih diamalkan, mekanisme menyelamatkan projek sakit serta kualiti sesuatu projek itu.

"Yang pertama budaya rundingan terus yang menyebabkan kontrak diberi kepada orang yang kemungkinan tidak ada kelayakan dan dengan harga yang tinggi.

"Sudah banyak kali isu ini dibangkitkan, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian. Saya difahamkan, kontraktor yang dilantik telah dihentikan kerana gagal siap, serta ditender semula projek ini dan tentunya akan meningkatkan lagi kos projek tersebut," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Kata beliau, projek Hospital Shah Alam yang sepatutnya disiapkan November 2010 kini masih terbengkalai hampir satu tahun ekoran kegagalan kontraktor yang dilantik untuk menyiapkan projek tersebut

"Budaya memberi projek kepada OKU (orang kuat Umno), tanpa runding terbuka terus dipertahankan. Seperti yang kita ketahui, cara ini hanya menyebabkan kos semakin tinggi tetapi kualiti rendah seperti yang berlaku pada projek Istana Negara, Hospital Shah Alam dan Institut Kanser Negara," katanya.

Katanya, mekanisme yang diambil kerajaan hanya menamatkan khidmat kontraktor, selain menawarkan tender baru yang boleh meningkatkan kos projek.

Malah, tambah Khalid menteri turut berbangga dengan mekanisme yang diambil hingga melupakan matlamat untuk menyiapkan projek seperti yang dijadualkan.

Dalam pada itu, Khalid mendakwa menteri turut membuktikan dirinya gagal apabila isu kualiti sesebuah projek itu tidak dapat diselia dan dipantau sebaik-baiknya.

"Isu kualiti merupakan satu lagi kegagalan menteri. Isu kualiti ini bukan soal 'design' tidak betul, tetapi apabila dibina tidak mengikut 'design'. Inilah kelemahan yang perlu dibaiki menteri," tegas beliau.

Sebelum itu, Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee menolak usul Khalid agar gaji menteri dipotong RM10 atas kegagalan yang didakwanya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan