RM7juta sehari ke kasino Singapura, apa penyelesaiannya?

Mat Zain Mat Isa
Di luar pengetahuan kita semua, negara kita rupa-rupanya menyumbang kira-kira RM7 juta sehari kepada Singapura hanya menerusi perbelanjaan di meja judi. Terimakasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Sebatang, Johor, Datuk Tee Siew Kiong yang mendedahkan kecenderungan memalukan itu.

Ketika membahaskan Bajet 2011 pada sidang Dun Johor minggu lalu, wakil rakyat MCA itu menganggarkan seramai 3,000 kaki judi negara ini mengunjungi kasino negara jiran itu setiap hari.

Mengambil kira nilai perbelanjaan minimum setiap mereka dianggarkan RM2,400, jumlah keseluruhan perbelanjaan mereka bersamaan RM7 juta sehari atau RM200 juta sebulan.

Beliau turut mendakwa mendapat maklumat sebanyak 30 buah bas berulang-alik setiap hari ke tempat perjudian terbabit.

“Difahamkan kira-kira 500 buah kereta persendirian akan berulang-alik ke lokasi perjudian tersebut selepas pukul 7 malam,” ujarnya, sepertimana dipetik media cetak, 21 November.

Ekoran pendedahan itu, pelbagai pihak memberikan reaksi. Yang melihatnya dari sudut sosial mengaitkan tabiat buruk itu dengan gejala negatif dalam masyarakat. Antaranya, peningkatan kes meminjam dengan ceti haram atau along. Ia juga mengakibatkan kekeruhan rumahtangga apabila amalan berjudi cenderung mencetuskan pergaduhan, bahkan perceraian antara suami isteri.

Pihak yang menilainya dari sudut ekonomi pula menyifatkan tabiat rakyat negara ini berbelanja di kasino negara jiran itu suatu pembaziran dan merugikan negara. Selain melibatkan pengaliran wang negara ke luar, kecenderungan penduduk tempatan berbelanja di Singapura turut memberi kesan negatif terhadap berbagai jenis perniagaan dalam negara.

Dikatakan para pengusaha pusat hiburan, pusat beli-belah, cuci kereta, pusat refleksologi dan makanan terutama di selatan tanahair mengadu mengalami kemerosotan apabila pelanggan mereka cenderung ‘bersuka ria’ di seberang Tambak Johor.

Meski pun agak terganggu dengan perangkaan tadi, reaksi dan ulasan pelbagai pihak di atas perkara itu bukan suatu yang baru. Kita percaya rakyat negara ini masih ingat tatkala kerajaan sendiri berura-ura meluluskan lesen bagi pertaruhan sempena Piala Dunia 2010, Jun lalu, komen dan penilaian serupa telah kedengaran.

Pelbagai pihak tampil menyuarakan kebimbangan atas kesan negatif kepada negara, terutama dari sudut sosial dan kekeluargaan, sekiranya kerajaan meneruskan hasrat menghalalkan perjudian.

Pandangan balas dan sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam isu tersebut juga diketahui umum. Tanpa selindung kerajaan diterajui Umno tampil mempertahankan perancangan meluluskan judi itu dengan berbagai rasional, terutama dari aspek merebut peluang dan kesempatan yang datang sekali dalam empat tahun (kejohanan bolasepak dunia itu) untuk meraih keuntungan ekonomi kepada negara.

Ertinya, soal kesan negatif terhadap rumahtangga dan sosial rakyat tidak menjadi perhitungan utama Umno. Apa yang ia tahu hanyalah mahu mengambil kesempatan mengaut keuntungan ekonomi.

Kita bimbang jika kes perjudian di Singapura ini diserahkan kepada Umno juga untuk menyelesaikannya, maka kaedah diambilnya sekali lagi bakal terpesong daripada penyelesaian komprehensif dan konkrit. Parti yang mata duitan itu akan hanya memikirkan soal ekonomi negara.

Lalu tidak mustahil yang diutamakannya hanyalah bagaimana menghentikan pengaliran wang keluar negara. Lagi pun itulah yang menjadi perhatian berat dan kebimbangan utama para penganalisis dan pakar ekonomi yang memberikan komen.

Mereka menganggap pengaliran keluar RM200 juta sebulan satu kerugian amat besar bagi ekonomi negara. Kerajaan, kata mereka, mesti mencari jalan menghentikan kecenderungan ini.

Soal pembaziran wang yang sepatutnya digunakan kaki-kaki judi itu untuk kebahagiaan dan kemanfaaatan keluarga serta keharmonian sosial lain seolah tidak menjadi perkiraan utama.

Kita bimbang, jika hanya atas premis mengelak kerugian ekonomi negara akibat pengaliran wang keluar, mungkin para pemikir ekonomi dalam kerajaan, terutama yang tidak menolak amalan berjudi atau sekadar menitikberatkan perspektif ekonomi, akan mengemukakan penyelesaian memalukan.

Contohnya, mereka mungkin mencadangkan agar kerajaan membina lebih banyak pusat judi dan kasino dalam negara, terutama di selatan tanahair. Akan ada juga pandangan agar pusat-pusat judi sedia ada dipromosi secara lebih hebat dan berkesan sekira-kira 3,000 kaki judi yang ketagih ke Singapura saban hari itu akan beralih arah ke negara sendiri.

Maka, secara logiknya jika cadangan itu dilaksanakan, aliran RM200 juta sebulan wang keluar negara itu akan dapat dihentikan. Dengan itu kebimbangan mereka atas kesan negatif terhadap ekonomi negara dianggap selesai.

Kita menaruh bimbang, jika penyelesaian yang dicari dalam isu ini sekadar menangani aliran keluar wang negara, rakyat bakal dirasionalkan dengan penyelesaian sedemikian.

Sedangkan, jika soal pembaziran sebenar dan kesan negatif kepada rumahtangga serta sosial diambil kira, kerajaan sepatutnya menimbang menghapuskan amalan judi itu sendiri keseluruhannya.

Bayangkan, jika hanya ke Singapura, rakyat kita habiskan RM200 juta sebulan, berapa pula yang kaki dan tahi judi seluruh negara habiskan di kesemua tempat judi di negara sendiri?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan