Kewibawaan jawatankuasa pemilihan PKR teruji lagi apabila berdepan dakwaan terbaru berlaku manipulasi melibatkan penjualan kertas undi kepada calon tertentu.
Bagaimanapun, menjawab dakwaan seorang penulis blog terkenal Haris Ibrahim dalam blognya kelmarin, setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dengan tegas menafikannya.
"Itu tuduhan jahat Haris. (Dakwaan itu) tak betul," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dalam tulisan di blog berjudul 'PKR, and its ballot papers, up for sale' (PKR, dan kertas undinya, untuk dijual), Haris mendakwa telah menemui seorang lelaki yang mempunyai bukti salah laku itu.
Dakwa Haris, dia diberitahu, pengawas pemilihan PKR boleh memanipulasi peratusan keluar mengundi dengan menambah kertas undi bagi memanipulasi keputusan.
Haris juga mendakwa, selepas ditanya, lelaki berkenaan menuduh calon timbalan presiden Azmin Ali, sekretariat ibu pejabat PKR dan beberapa anggota Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) terlibat.
Haris - seorang pengamal undang-undang - juga memuatkan gambar kertas undi yang didakwa diperoleh daripada lelaki itu dan mempersoalkan sama ada terdapat banyak lagi kertas undi lain.
Sementara itu, Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang turut mengulas laporan mengenai seorang ketua cabang di Sabah yang "membuat kacau" sewaktu pemilihan parti di cabang Kudat semalam.
Saifuddin menjelaskan setakat ini, beliau belum menerima laporan lengkap daripada pengawas tentang perkara insiden tersebut.
"Saya belum menerima laporan lengkap mengenai perkara tersebut," katanya.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan Ketua Cabang Kota Marudu Anthony Mandiau didakwa menyimpan kertas undi di cabang Kudat, sehingga pengundian sedikit tergendala.
Bagaimanapun Anthony dipetik sebagai mengakui bertindak demikian atas beberapa alasan yang tertentu, antaranya kerana berpendapat kertas undi tidak harus oleh disimpan pengawas pemilihan.
Sebelum ini, dua lagi calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub pernah mengusulkan pemilihan ditangguhkan bagi memperbaiki kelemahan dalam pengurusan pemilihan itu.
Aduan yang berterusan ini dilihat sebagai tempias daripada bahang perebutan kerusi nombor dua itu di mana Azmin sekarang terus menjarakkan diri dengan dua lagi pesaingnya itu.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan