Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR, 6 Dis: Tindakan Datuk Seri Najib Razak menghentam parti-parti Pakatan Rakyat (PR) sewaktu berucap di Konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam adalah bukti pengerusi BN itu 'gelabah' dengan kekuatan PR. Mengulas ucapan Najib itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Najib sudah tidak mampu lagi menyembunyikan ketakutannya berdepan sokongan kuat rakyat terhadap Pakatan Rakyat. "Kita melihat ucapan itu menunjukkan kegelabahan BN dalam menghadapi perkembangan terkini Pakatan Rakyat. "Malah mereka sebenarnya agak terkebelakang mengadakan konvensyen daripada kita Pakatan Rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang kepada Harakahdaily hari ini. Beliau membandingkan dengan Konvensyen Pakatan Rakyat yang akan diadakan kali kedua di Pulau Pinang pada 19 Disember ini. Selain menuduh Pakatan Rakyat anti nasional, Najib semalam turut menuduh PKR sebagai nepotisme manakala PAS dituduh menjalin kerjasama dengan para pembohong besar, pemalsu dokumen, petualang bangsa dan pengkhianat negara. "Dia tak tahu tentang dalaman Pakatan, strategi kita, hasrat kita, langkah kita. "Dia tak perlu cakap kalau dia tak tahu," kata Tuan Guru Abdul Hadi lagi. Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut sependapat dengan pandangan itu. Ketika sidang media bersama Ketua Umum PKR di parlimen pagi tadi, Mahfuz berkata, Najib telah membuktikan bahawa Pakatan Rakyat satu-satunya pihak paling relevan menggantikan Umno. "Saya ucap tahniah kepada Najib kerana tak dapat sembunyikan lagi rasa cemasnya. "Terima kasih juga kerana secara tak langsung serangan kepada PKR dan Pakatan Rakyat itu memberi mesej jelas kepada rakyat, bahawa PR adalah gabungan masa depan untuk Malaysia," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan