PAS lancar dana bela institusi pendidikan Islam terpinggir

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 6 Dis: PAS menubuhkan Dana Pendidikan PAS dengan menyasarkan RM1 juta untuk membela institusi pendidikan Islam yang dipinggirkan oleh kerajaan Pusat.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata, pelancaran dana secara rasmi akan dilakukan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, 29 Januari depan.

“Dasar pembiayaan pendidikan di kalangan orang terpilih (iaitu) lebih untuk melahirkan profesional dan (pelajar-pelajar) dalam bidang-bidang kritikal dengan cara pinjaman (seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).

“(Dasar kerajaan) ini tak boleh nak menampung Sekolah Agama Rakyat, pekerja-pekerja pendidikan yang terus membangunkan modal pendidikan Islam di Malaysia yang dipinggirkan.

“Tanggungjawab untuk memajukan pendidikan Islam mesti diambil komitmen oleh parti kita... gejala sosial sangat banyak di mana anak muda, kita kemungkinan akan hilang jati diri Islam kita,” kata Abu Bakar hari ini.

Menurut Abu Bakar, dana tersebut turut bertujuan membantu pembiayaan pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi selain membela kebajikan guru-guru sekolah agama rakyat.

Beliau berharap golongan profesional serta syarikat korporat boleh memberi sumbangan demi mereputasi semula pendidikan sekolah agama rakyat dan pondok sendiri.

Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Dana Pendidikan PAS turut mengumumkan ketetapan PAS pusat melantik Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa menjadi Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan