Debat: Khairy dicabar sertai forum pemuda PAS

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 12 Jan: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dicabar ke pentas forum Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dahulu sebelum berkira-kira mahu berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan DPPP, Suhaizan Kaiat berkata, DPPP mempelawa Khairy untuk menyertai mereka dalam forum 'Janji 100 Hari Pakatan Rakyat' yang akan diadakan 19 Januari ini.

Katanya, DPP sememangnya sudah menyediakan pentas kepada wakil Umno dalam forum tersebut.

Namun melihat kesungguhan Khairy menyahut debat yang dilontar Anwar kepada Datuk Seri Najib semalam, maka DPPP katanya mahu Khairy mengisi tempat wakil Umno tersebut.

"Dengan segala hormatnya, saya mempelawa Khairy untuk menyertai forum kita.

"Saya kira ianya lebih sesuai untuk Khary...Saya sudah hantar SMS kepada beliau, dan kita sedang tunggu jawapan," katanya kepada Harakahdaily.

Semalam, Khairy dilaporkan sedia menggantikan Perdana Menteri menyahut debat yang dilontar Anwar yang juga Ketua Umum PKR.

Sebelum itu, Anwar pada sidang medianya pagi semalam mancabar Najib berdebat selepas Perdana Menteri itu didakwa membidas pelan 100 hari Pakatan Rakyat pada perhimpunan bersama kakitangan kerajaan kelmarin.

Bagaimanapun, belum 24 jam cabaran dibuat, Khary pula tampil menyatakan kesedian berdebat.

Sehubungan itu Pemuda PAS mahu Khairy menerima jemputan tersebut jika beliau bersungguh mahu berdebat berhubung isu tersebut.

Forum anjuran Pemuda PAS tersebut akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), bermula jam 9.30 hingga 12 malam dan terbuka kepada semua.

Ianya akan menampilkan empat orang panel, masing-masing dua mewakili Pakatan Rakyat dan dua lagi mewakili BN manakala moderatornya adalah penganalisis politik, Prof Mohd Agus Yusof.

Pakatan Rakyat akan diwakili AJK PAS Pusat Dr. Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua manakala panel dari parti Gerakan dan Umno mewakil BN.

"Kita sudah menghantar surat jemputan kepada parti Gerakan, dan mereka telah bersetuju cuma mereka belum beri nama siapa yang mewakili mereka.

"Untuk Umno kita telah menjemput Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah, namun belum ada apa-apa jawapan. Oleh kerana kita lihat Khairy lebih bersungguh, jadi kita beri ruang ini untuk Khairy," kata Suhaizan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan