Kecoh ular tedung tumpang tengok TV?


ANGGOTA JPAM Perlis menunjukkan ular tedung selar sepanjang lima meter yang ditangkap dalam sebuah rumah penduduk kampung di Ulu Pauh, Arau semalam.
ARAU: Ketenangan sebuah keluarga di Kampung Tengah, Ulu Pauh dekat sini yang sedang berehat di ruang tamu bertukar kecoh apabila seekor ular tedung selar sepanjang lima meter muncul ketika mereka menonton televisyen semalam.

Kejadian tersebut menyebabkan penghuni di rumah berkenaan bertempiaran lari keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri sebelum menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Perlis kira-kira pukul 7 malam.

Ketua Operasi JPAM, Mohd. Farhan Abdul Aziz berkata, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk menangkap reptilia tersebut yang bersembunyi di belakang rak televisyen rumah itu.

"Pemeriksaan dilakukan di seluruh sudut rumah penduduk itu dan akhirnya kami menemui ular itu di belakang rak tersebut.

"Kami terpaksa menggunakan cangkuk besi untuk menangkap ular itu sebelum dimasukkan ke dalam sangkar besi," katanya.

Jelasnya, ular tersebut yang berwarna kuning dipercayai datang dari arah bukit berhampiran bagi mencari tempat yang lebih panas untuk bersembunyi.

"Ular itu adalah spesies reptilia berbisa yang paling besar pernah kami tangkap setakat ini," ujarnya.
-kosmo-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan