Misteri: Hilang disorok makhluk halus

KAMPUNG MERBAU MENYUSUT: “Ibarat mati hidup semula. Itulah perasaan ketika orang ramai menemui saya pada jam 9 pagi semalam setelah hilang selama 12 jam.

"Saya seperti dipukau ketika mengikut makhluk halus itu ke dalam hutan," kata Abdul Majid Mat Kib, 48.

Menurut Abdul Majid, sebelum kejadian, pada mulanya dia berhasrat membuang air besar di tandas di luar rumah tetapi apabila masuk ke dalam tandas, hasrat itu dibatalkan.

“Sambil menunggu isteri menyediakan sarapan, saya seolah-olah mendengar satu panggilan dari hutan di belakang rumah dan terus meluru keluar mengikut suara itu.

“Pada waktu itu, saya berasa dipimpin seseorang dan tidak sedar apa berlaku sehinggalah dijumpai dalam keadaan lemah di bawah cerun kawasan hutan sejauh 500 meter dari rumah,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Suhaini Pak Kob, 25, berkata, selepas menyedari kehilangan Abd Majid, dia mula risau keselamatan suaminya sebab mereka sekeluarga baru menyewa rumah itu hampir dua minggu lalu.

“Selepas usaha mencari suami dengan anak lelaki berumur tujuh tahun gagal, saya memberitahu orang kampung.

“Bagaimanapun, usaha mencari dilakukan petang semalam sekitar kawasan hutan tempat suami dipercayai hilang tidak juga berhasil sehingga laporan polis dibuat petang kejadian," katanya.

Menurut Suhaini, disebabkan cuaca tidak mengizinkan, operasi mencari dihentikan sementara dan diteruskan semula pada pagi ini (semalam) sehinggalah dia ditemui lemah dan keletihan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merbau Menyusut, Abdullah Mat Amin berkata, seramai 30 penduduk terlibat dalam operasi mencari mangsa.

“Operasi yang dimulakan jam 8 pagi semalam selama satu jam dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan azan bagi memudahkan kerja mencari.

“Alhamdulillah hasil ikhtiar penduduk, kami berjaya menemui mangsa dalam keadaan kesejukan," katanya.

Beliau berkata, kes kehilangan orang dipercayai disorok makhluk halus adalah pertama kali berlaku di kampung itu sejak dibuka pada 1963.
-sinarharian- 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan