Rosmah terus bermewah: Rakyat biayai penginapan RM 140 ribu semalam

Detikdaily
Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak digesa memberi penjelasan mengenai kos sebenar penginapan di hotel Atlantis, Dubai yang didiami isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang didakwa mencecah RM 140 ribu untuk satu malam. Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Lo'Lo Mohd Ghazali mahu Najib atau Kementerian Luar memberi respons segera mengenai kos penginapan dan operasi sepanjang lawatan Rosmah ke Dubai kerana ia melibatkan wang rakyat.

Lo'Lo' sewaktu dihubungi Harakah turut menegaskan penjelasan ini penting kerana ia bukan hanya melibatkan Rosmah tetapi juga isteri-isteri menteri yang lain. "Jika benar tujuan lawatan tersebut untuk menjaga hubungan antara kedua-dua negara, bukan Rosmah orang yang sepatutnya. Bukan dia yang berada di kedudukan ini. 

"Dan kita tidak sepatutnya menyokong tindakan tersebut kerana ia tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah pentadbiran negara apabila lawatan rasmi seperti itu diwakili isteri Perdana Menteri dan bukan menteri kanan," tegas Ahli Parlimen Titiwangsa itu. Lo'Lo' menegaskan, jika melibatkan isteri-isteri menteri yang lain, sudah tentu mereka juga terbabit dengan penerbangan serta penginapan kelas pertama yang tentunya mencecah perbelanjaan yang amat tinggi.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Aljundi turut menyelar sikap Rosmah itu yang dianggap sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia, negara sebenarnya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan berganda kerana terpaksa menanggung perbelanjaan program atau pelbagai aktiviti isterinya, Rosmah Mansor.

"Rakyat bukan sahaja perlu membayar dan menanggung Najib selaku Perdana Menteri tetapi juga terpaksa membayar dan menanggung Rosmah. Dan ini adalah suatu pembaziran yang melampau bahkan akan terus berlaku seandainya Najib kekal menjadi Perdana Menteri dan dibiarkan memposisikan dirinya sebagai Wanita Pertama Malaysia, " dakwanya.

Menurut beliau, Rosmah sebenarnya telah berhasil memposisikan dirinya sebagai seorang wanita yang kini berada di tampuk kuasa meskipun hakikatnya dia hanyalah isteri kepada seorang Perdana Menteri.  Bagaimanapun Athirah, budaya dan patern baru ini tidak punya garis pandu yang jelas bahkan tanpa had yang tertentu yang akhirnya berupaya mendorong  isteri-isteri menteri kabinet ini kepada tindak tanduk 'lebih sudu dari kuah'.

Terdahulu, Ketua Cabang KeADILan Rembau, Badrul Hisham Shahrin menyeru Najib supaya menegur tabiat isteri kesayangannya, yang boros dan gemar berbelanja besar. Tegasnya, kerajaan kerap memberi alasan untuk memotong subsidi rakyat disebabkan kos pengurusan ekonomi negara meningkat setiap tahun. Dalam masa yang sama, Najib merayu rakyat agar mengubah cara hidup dan tidak boros berbelanja.

"Peliknya, Presiden Umno itu kekal membisu apabila pemborosan melibatkan isterinya Rosmah Mansor. Sebab itu, saya melihat Rosmah ini sudah menjadi beban utama kepada seluruh rakyat Malaysia. Najib perlu berani menegur isterinya," dipetik sebagai berkata kepada Keadilandaily.com.

Menurutnya lagi, bukti betapa rakyat Malaysia muak dengan perangai Rosmah tidak dapat dibendung apabila mereka menanyakan soalan bertalu-talu mengenai cara Rosmah ketika Perdana membuka segmen #TanyaNajib di laman Twitternya pada 11 Januari lalu.

"Hampir 90 peratus dari soalan yang ditanyakan rakyat dalam Twitter berkaitan perangai Rosmah. Sudah tiba Najib memberanikan diri menegur perangai isteri kesayangannya itu," ujarnya. Secara sinis, Badrul berkata cara hidup Rosmah yang boros berbelanja hanya boleh diubati sekiranya suaminya itu tidak lagi menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan