Semakin ramai anggota tentera jadi pekak (hadapi masalah pendengaran)

KUALA LUMPUR: Jumlah anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menghadapi masalah pendengaran semakin ramai dengan 22 peratus daripada mereka dikesan menghadapi masalah itu sejak 2000 hingga 2008.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin,
berkata maklumat ini tercatat dalam penyata Lembaga Perubatan ATM. Katanya, dalam tempoh dua tahun antara 27 Januari 2008 dan 27 Januari 2009, 686 anggota tentera dikesan menghadapi masalah pendengaran berpunca dari bunyi bising semasa dalam perkhidmatan.

"Jabatan Hal Ehwal Veteran pula membelanjakan RM760,015 untuk membiayai alat bantuan pendengaran kepada veteran ATM antara 2008 sehingga Ogos 2009," katanya ketika berucap sempena Minggu Kesihatan Kementerian Pertahanan 2011 di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia,
Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Azizan berkata, untuk itu anggota tentera disarankan mematuhi garis panduan kesihatan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM bagi mengurangkan risiko berlakunya masalah pendengaran akibat pencemaran bunyi semasa dalam perkhidmatan.

Azizan berkata, punca utama penyakit itu adalah disebabkan kegagalan pihak pentadbir dan warga tentera mematuhi tatacara kerja dengan selamat.

"Saya meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa dengan langkah-langkah
pragmatik yang disarankan serta dengan kerjasama dan pematuhan tatacara oleh semua pihak, kita akan dapat menurunkan peratusan mereka yang menghadapi masalah pendengaran," katanya.

Program Minggu Kesihatan yang diadakan setiap tahun itu bertujuan memberi kesedaran dan khidmat nasihat mengenai penjagaan kesihatan dan amalan gaya hidup sihat bertempat di Wisma Pertahanan selama tiga hari bermula hari ini.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan