Mesir: Bimbang pengaruh gerakan Ikhwanul Muslimin : Hosni Mubarak enggan undur


Hosni Mubarak
KAHERAH, 4 Feb: Bimbang dengan pengaruh gerakan Ikhwanul Muslimin,Hosni Mubarak enggan berundur dari tampuk kuasa sebagai Presiden Mesir.

Sehubungan itu beliau memberi amaran bahawa parti Ikhwanul Muslimin akan mengisi vakum kuasa jika beliau meletakkan jawatan sekarang.

Dalam satu temubual dengan stesen ABC News, beliau berkata sudah “bosan” kekal sebagai presiden Mesir dan memang mahu bersara dengan segera tetapi keadaan tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian sekarang.

Diktator berusia 82 tahun melahirkan kebimbangan bahawa negara dengan 80 juta penduduk itu akan huru-hara jika mengambil tindakan meletakkan jawatan sekarang.

Memasuki hari ke -11 reformasi rakyat paling berpengaruh di benua Afrika itu telah menyebabkan lebih 100 orang terbunuh.

Hosni berada di tampuk pemerintahan sejak tiga dekad lalu dengan didakwa melakukan penindasan politik khususnya ke atas Ikhwanul Muslimin.

Beribu-ribu penunjuk perasaan terus berada di ibu negara Mesir dengan puak pro-Hosni pula melakukan serangan ke atas mereka.

Tentera yang cuba untuk memisahkan kedua-dua kumpulan itu kelihatan gagal berbuat demikian.

Memetik laporan ABC, Hosni dikatakan beliau juga ada memberitahu Presiden Barack Obama bahawa Amerika Syarikat tidak faham budaya Mesir dan tidak berminat untuk menjadikan anaknya Gamal sebagai presiden mengantikannya.

Naib Presiden baru yang dilantik Hosni, Omar Suleiman mengajak Ikhwanul Muslimin mengadakan dialog dengan kerajaan.

Barisan pembangkang sudah pun menolak sebarang bentuk rundingan dengan Hosni.
-selangorkini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan