PRU 13: Perak Paling Mencuri Perhatian

Zamsha
TIDAK kiralah tarikh sebenar Pilihanraya Umum ke-13 akan dilangsungkan , satu perkara yang pasti, Perak akan lebih diberikan tumpuan oleh para penganalisis dan pengamat politik berbanding negeri-negeri lain.

Dengan pelbagai peristiwa kontroversi sepanjang 2009 seperti pertukaran tampuk pemerintahan negeri secara paksa daripada Pakatan Rakyat (PR) kepada Barisan Nasional (BN) dan rentetan peristiwa selepas itu, seperti demonstrasi rakyat di Kuala Kangsar, sidang bawah pokok serta kekecohan yang berlarutan hingga ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) , maka tidak syak lagi Perak berhak untuk diberikan perhatian yang lebih berbanding negeri-negeri lain.

Adalah dijangkakan beberapa watak utama yang memainkan peranan penting dalam peristiwa Februari 2009 itu akan kembali ke gelanggang. Nama-nama seperti Mohammad Nizar Jamaluddin, Zambry Abd.Kadir, Ngeh Koo Ham, Ng Kor Min, Sivakumar A/L Varatharajunaidu dan ramai lagi hampir pasti akan sekali menjadi watak-watak penting pada PRU ke-13 .

Berbeza pula dengan beberapa nama lain seperti Hee Yit Foong, Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu serta Kesvinder Sing a/l Kashmir Singh yang besar kemungkinan akan hanya duduk di kerusi penonton pada PRU yang bakal berlangsung nanti. Realiti politik di Semenajung berbeza dengan politik Sabah dan Sarawak di mana peluang untuk calon Bebas memenangi sesebuah pilihanraya agak besar. 6 Februari 2009 sudah tercatat dalam lembar sejarah negara. Tarikh itu merupakan satu tompok hitam dalam sistem demokrasi di Malaysia. Dalam peristiwa itu, BN telah menidakkan kuasa majoriti rakyat Perak yang telah menunjukkan kepada dunia bahawa mereka mahukan Pakatan Rakyat(PR) sebagai wakil mereka dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan negeri yang sah.

Hal ini dibuktikan menerusi statistik undi popular bagi kerusi DUN di Perak pada PRU ke-12 lalu di mana seramai 442, 660 pengundi telah memilih PR berbanding hanya 399, 565 pengundi yang memilih BN. Hanya orang yang pendek akal sahaja yang akan mengatakan 399, 565 lebih banyak daripada angka 442, 660.

Kerajaan PR di Perak telah membuktikan keupayaan mereka memerintah negeri tersebut, walaupun diasak dengan pelbagai tohman dan fitnah daripada segenap sudut. Namun hayat kerajaan pilihan majoriti rakyat Perak itu hanya mampu bertahan selama 11 bulan sahaja.

Persefahaman yang cantik antara DAP, PKR dan Pas yang telah bersepakat menamakan Dato Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang kemudiannya mendapat perkenan Sultan Perak nyata menggembirakan rakyat negeri itu. DAP yang memahami dan menghormati Undang-Undang Tubuh Negeri Perak bertindak bijak, bersetuju agar Nizar dilantik sebagai Menteri Besar meskipun parti itu mempunyai 17 buah kerusi berbanding PKR, 7 kerusi dan PAS, 6 kerusi.

Malangnya panas hanya hingga ke tengahari. Segala-galanya berpunca daripada tiga orang ADUN PR yang goyah pancang diri. Mereka mengisytiharkan diri sebagai wakli Bebas tetapi mesra BN yang kemudiannya diikuti oleh seorang lagi ADUN DAP dari Malim Nawar. Peristiwa keluar parti itu akhirnya telah menggugat Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Beberapa senario penting menyebabkan ramai pihak yang akan tertumpu ke negeri Perak pada PRU ke-13 nanti. Pertamanya, mereka ingin melihat sejauhmana pengaruh dan keberkesanan pemerintahan Zambry yang memungkinkan undi PR akan beralih kepada BN. Andai rakyat mulai selesa dan berpuas hati dengan gaya dan corak kepimpinan Zambry maka tidak mustahil BN akan kembali menguasai Perak secara sah pada PRU ke-13 nanti.

Namun, jika rakyat masih lagi bertahan dengan mood PRU ke-12 yang lepas, ditambah pula dengan prestasi Zambry yang kurang memberangsangkan, maka Zambry terpaksa menyerahkan kembali kerusi Menteri Besar. Sayugia diingatkan, meski didesak hebat oleh PR agar membubarkan DUN pada 2009, namun BN kelihatan takut untuk dihakimi oleh rakyat. Kali ini mereka tidak lagi mampu mengelak untuk berhadapan dengan rakyat. Jika dalam PRU nanti rakyat masih menolak BN, ini bermakna mereka sebenarnya tidak pernah merestui kerajaan Zambry sekarang ini.

Keduanya, kekuatan PR dan BN di Perak sebenarnya masih lagi seimbang berdasarkan kerusi mutlak milik kedua-duanya. BN memiliki 27 buah kerusi, satu kerusi kurang daripada yang dimiliki oleh PR iaitu sebanyak 28 buah kerusi. Sementara 4 buah kerusi lagi milik Bebas. Fakta perbezaan satu kerusi sahaja, ditambah pula dengan 4 buah kerusi bebas yang asalnya milik PR mampu menyenakkan perut para pemimpin BN di Perak. Kali ini mereka tidak lagi boleh lari dari berhadapan dengan rakyat. Mereka tidak boleh lagi tersenyum sambil menyorok di belakang pihak-pihak tertentu untuk diadili oleh rakyat.

Ketiga, berdasarkan bacaan politik sewaktu Pilihanraya Kecil DUN Tenang baru-baru ini menyaksikan undi kaum Cina kepada BN hanya sekitar 35 peratus sahaja. Hal ini sebenarnya sangat memeritkan untuk BN di Perak yang menyaksikan hanya seorang calon Cina menang di DUN Chendering pada PRU ke-12 yang lalu.

Komposisi kebanyakan kawasan di Perak hampi-hampir sama dengan Tenang.
Berdasarkan analisis di Tenang, kaum Cina kelihatan masih belum kembali menyokong BN, sedangkan di Perak kawasan majoriti Cina telah terbukti memberikan kelebihan kepada DAP dan kawasan campuran pula memberikan kelebihan kepada PKR amat banyak.

Ketiga-tiga senario di atas menyebabkan Perak merupakan negeri yang paling menarik untuk diperhatikan pada PRU ke-13 nanti. Apa yang pasti, rakyat akan memberikan markah untuk 11 bulan PR memerintah dan kerja yang sedang dibuat oleh BN sekarang. Benar, hanya jauhari yang mengenal manikam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan