5,000 penduduk Alor Star ikuti amanat Himpunan Bersih 2.0

 Ahmad Fadli


Penduduk Alor Star tekun mengikuti ucapan Anwar mengenai kepentingan Bersih 2.0
ALOR STAR: Lebih 5,000 orang membanjiri Markas Pas Pokok Sena di sini, bagi mengikuti perkembangan terbaru dari pimpinan Pakatan Rakyat mengenai program Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara 9 Julai ini.
Kehadiran rakyat yang bilangannya luar biasa itu, sekaligus memberi gambaran betapa sambutan rakyat terhadap seruan menyertai Himpunan Bersih 2.0, sangat menggalakkan.
Apatah lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pidatonya bijak membakar semangat hadirin dengan mengingatkan rakyat supaya terus yakin dengan perjuangan menuntut perubahan kerana ia asas paling utama dalam melawan pemerintah zalim.
“Kita ada keyakinan, kita menang. Hilang keyakinan, kita kalah,” kata Ketua Umum KEADILAN merangkap Ketua Pembangkang itu.

Umno khianati amanah rakyat - Mahfuz
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang berucap dalam loghat pekat utara turut mencuri tumpuan apabila mengibarat pemimpin yang mengkhianati kepercayaan rakyat sebagai ‘jebon yang menjaga law ayam’ (musang yang menjaga reban ayam).
“Jangankan ayam, dengan law sekali jebon ini nak kekah,” katanya, penuh semangat.
Ketua Pemuda Pas kawasan Pokok Sena, Ustaz Izzat Shauki pula mencabar semua hadirin lelaki untuk turun ke Kuala Lumpur 9 Julai ini jika benar-benar anak jantan.
“Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga, seorang perempuan pun turun ke jalan raya. Jadi, kalau saudara-saudara yang lelaki tak berani turut sama berhimpun, malulah kepada orang perempuan” katanya
Sokongan rakyat terhadap tuntutan Bersih semakin meluas
Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad bin Kassim turut mengingatkan rakyat bahawa prinsip pengasingan kuasa antara pentadbiran, perundangan dan kehakiman perlu dititik berat agar kuasa tidak berpusat kepada Perdana Menteri semata-mata.
“Kalau dah campur jadi macam rojak, ada masalah. Justeru, tuntutan Bersih adalah sebahagian usaha memperbetul keadaan ini,” katanya.
Ceramah berakhir kira-kira jam 12 tengah malam dengan ribuan hadirin yang mengikuti amanat pimpinan beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing, dengan tekad untuk menyertai Himpunan Bersih 2.0.
Di wajah mereka, terpapar semangat untuk berhimpun di Kuala Lumpur 9 Julai ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan