Bersih 2.0 : Agong Boleh Bertindak Terhadap Wan Ahmad, Kata Aziz Bari


SHAH ALAM, 30 JUN: Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja harus mengambil tindakan terhadap Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Wan Ahmad Wan Omar kerana mengeluarkan kenyataan berbaur politik mengenai perhimpunan Bersih, kata pakar perlembagaaan Profesor Abdul Aziz Bari.

Aziz berkata kenyataan Wan Ahmad itu mencemari kredibiliti SPR yang bernaung di bawah institusi Raja-Raja Melayu dan mempunyai implikasi ke atas proses pilihanraya negara ini.

"Saya fikir Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja boleh mengambil tindakan terhadap beliau oleh kerana perlantikan SPR itu dibuat oleh YDPA setelah berbincang dengan Raja-Raja. Peranan kerajaan hanya kecil sahaja, sepatutnya," jelasnya lagi.

Wan Ahmad hari ini mendakwa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan bagi membina momentum untuk gagasan itu menawan Putrajaya. Hujah yang sama telah digunapakai oleh Perdana Menteri Najib Razak beberapa hari sebelum itu.
 
Wan Ahmad turut mendakwa pembangkang mahu menggerakkan Bersih kali kedua setelah menyaksikan bagaimana perhimpunan  tahun 2007 membawa kepada 'tsunami' politik yang memberi kemenangan besar kepada PR pada PRU 2008.
 
"Mungkin saya rasa (kenyataan itu) boleh menjurus kepada desakan untuk beliau meletakkan jawatan atau dipecat kerana tugas SPR (adalah) dari segi perlembagaan adalah mengendalikan pilihan raya dan mengemaskini daftar pemilih.
 
"Jadi saya rasa apa yang disebut oleh Timbalan Pengerusi SPR tidak patut dan telah mencemarkan kedudukan dan kredibliti SPR. Ertinya ia akan menyukarkan tugas-tugas SPR sendiri,"  kata beliau kepada TvSelangor.
 
Abdul Aziz yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dalam jurusan undang-undang menyifatkan pandangan yang dilontarkan Wan Ahmad sebagai prejudis tanpa disokong oleh sebarang bukti.
 
Katanya, tuntutan Bersih kali ini adalah usaha murni pertubuhan bukan kerajaan memperkasa sistem pilihan raya memandangkan terdapat banyak kecacatan yang dikesan.
 
Senada dengan Presiden Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Abdul Aziz menegaskan perhimpunan itu tidak ditunjangi oleh Pakatan Rakyat.
 
Justeru kenyataan Wan Ahmad itu memperkukuhkan dakwaan bahawa SPR pro kerajaan, kata Aziz.
 
Aziz berkata SPR harus berada pada landasan yang betul sebagai badan berkecuali yang menguruskan perjalanan pilihan raya di negara ini memandangkan ianya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri.
 
Justeru katanya, perlembagaan turut menyebut bahawa YDPA perlu memastikan SPR adalah suruhanjaya yang boleh dipercayai semua pihak.

"Kalau kita lihat laporan Suruhanjaya Reid dan Perlembagaan, SPR telah pun diberi perlindungan dan upaya yang sepatutnya," kata beliau.

"Jadi kalau kita lihat dari segi itu, dengan jelas menunjukkan kerajaan yang memerintah tidak patut campur. Tapi oleh kerana kerajaan memerintah tidak tahu malu, (dan) mereka tidak peduli perlembagaan (maka) mereka ingat SPR di bawah mereka. SPR (juga) melihat mereka di bawah kerajaan. Ini satu perkara yang saya fikir malang bagi negara," jelas Aziz lagi.
 
Ditanya mengenai tindakan polis secara membabi buta menangkap hampir 100 orang aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat menggunakan pelbagai akta, Aziz berkata polis dan kerajaan sedang bertindak melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

"Lihat dari segi permit. Mereka (polis) sudah salah kerana mereka tidak boleh memberi kenyataan umum bahawa permit tidak boleh diberikan. Mereka perlu menerima permohonan dahulu dan tidak boleh secara terang berkata "kami tidak boleh beri permit".
 
"Kedua menangkap orang berbaju kuning adalah tindakan gila. Saya fikir mereka memang tidak pedulikan undang-undang. Perlembagaan jelas mengatakan Kebebasan Peribadi (Perkara 5), hatta dalam ISA ada menyebutkan kalau mahu mengatakan sesuatu barang itu dianggap mengancam dan sebagainya, ianya perlu diwartakan dahulu dan ini tidak dibuat," tambahnya.
-tvsnews-

1 ulasan:

  1. Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Wan Ahmad Wan Omar ni dah di LEMBU kan oleh puak UMpoRNO.Jangan lah keluarkan kenyataan bodoh..Buat je kerja yang diamanahkan oleh rakyat. BERSIH, CEKAP dan AMANAH. Sudah lah di "LEMBU"kan..jangan le bodoh macam "LEMBU" (maaf ya Lembu)

    BalasPadam