Bertindan: SPR, JPN perlu bersih data

Suhaizan Kaiat
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan mengenai pilihanraya sebelum Himpunan Bersih 2.0. SPR telah menyatakan bahawa mereka telah memperkenalkan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-PPST) di mana identifier  pemohon akan dihubungkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sistem ALIS (Agency Link-Up System). Jika identifier tersebut sama dengan maklumat MyKad, barulah SPR mendaftarkan sebagai permohon tersebut. Jika tidak, SPR tidak akan sesekali mendaftarkan permohonan tersebut. SPR berjanji sistem yang dibina akan menolak sebarang cubaan untuk mendaftarkan permohonan yang tidak sah. SPR juga berkali-kali menolak isu “Pengundi Hantu” yang terdapat dalam daftar pemilih.
Dewan Pemuda PAS Pusat ingin mengemukakan beberapa bukti kepada rakyat Malaysia bahawa sistem E-PPST dan ALIS mempunyai beberapa kelemahan. Terdapat bukti data yang mana dua orang pemilih berkongsi satu nombor kad pengenalan lama yang sama. Bukti-buktinya adalah seperti berikut:
Bukti Pertama: Merujuk kepada data  sah yang dikeluarkan oleh SPR, Low Kim Lian dan Tom Binti Din berkongsi nombor kad pengenalan lama  1790975. Kedua-dua mereka mengundi  di Dun Kuala Nerang, Parlimen Padang Terap, Kedah. Persoalannya bagaimana JPN boleh membenarkan dua orang individu  memiliki no kad pengenalan lama yang sama. Dalam konsep sebenar sistem komputer, no kad pengenalan lama adalah identifier kedua bagi seseorang individu. Ia  samasekali tidak boleh bertindan. Jika bertindan maka ia membuktikan bahawa JPN mempunyai sistem pendaftaran yang lemah  atau Standard Operation Procedure(SOP) JPN yang lemah atau lemah kedua-duanya sekali.
Bukti Kedua: Merujuk kepada data  sah yang dikeluarkan oleh SPR, Mariam Bin Su memiliki dua kad pengenalan berbeza iaitu 720616025472 dan 720610025738 tetapi mempunyai satu nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu A2278510. Beliau memiliki dua hak mengundi di Dun Kuala Ketil, Parlimen Baling. Persoalannya yang mana satukah identiti sebenar Mariam Binti Su?  Beliau seolah-olah memiliki dua identiti. Ini memberi maksud bahawa salah satu daripada identiti Mariam Bin Su adalah “Pengundi Hantu”. Inilah bukti “Pengundi Hantu” yang dicari-cari oleh SPR. Persoalannya bagaimana Sistem e-PPST, SPR boleh menerima Mariam Binti SU memiliki dua identiti sedangkan identifier kedua nombor kad pengenalan lama beliau adalah sama. Bagi sesuatu sistem komputer yang berkesan sepatutnya e-PPST tidak akan membenarkan seseorang yang memiliki identiti yang sama mendaftar sebanyak dua kali. Inilah bukti kelemahan sistem e-PPST.
Bukti Ketiga: Merujuk kepada data sah yang dikeluarkan oleh SPR, Murugan A/L Subramaniam dilahirkan pada 02hb Oktober 1973 dan memiliki nombor kad pengenalan lama A2909056. Dua identiti Murugan A/L Subramaniam  memiliki tarikh lahir, nombor kad pengenalan lama, jantina, lokaliti, daerah mengundi, Dun, Parlimen dan Negeri yang sama. Hanya 4 digit terakhir kad pengenalan  iaitu 5201 dan 5877 yang membezakan identiti  Murugan A/L Subramaniam. Persoalannya mana identiti sebenar Murugan A/L Subramaniam? Bukankah salah satu daripada identiti Murugan A/L Subramaniam adalah “Pengundi Hantu”. Saya yakin dua identiti ini adalah orang yang sama. Persoalannya, bagaimana masalah ini boleh terjadi?
SPR dan JPN wajib memperbaiki sistem komputer yang dibangunkan. Selepas itu pemutihan data perlu dilakukan. Sistem e-PPST dan ALIS hendaklah mampu mengesan cubaan untuk mendaftar data-data yang tidak sah dan bertindan. Dewan Pemuda PAS memiliki banyak lagi data-data sah daripada SPR yang bertindan seperti yang dibuktikan di atas. Data-data ini akan kita gunakan untuk menguji keberkesanan sistem yang dimiliki oleh SPR dan JPN pada masa akan datang. SPR dan JPN jangan hanya membuang data yang meragukan tanpa memperbaiki sistem komputernya. Data tidak akan bersih sepenuhnya tanpa perubahan pada sistem komputer SPR dan JPN. Tuntutan pembersihan data pemilih merupakan salah satu tuntutan Bersih 2.0.
SUHAIZAN BIN KAIAT
PENGERUSI  PEMULIHAN DEMOKRASI DAN MOBILISASI,  PEMUDA PAS PUSAT
KETUA PEMUDA PAS NEGERI JOHOR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan