S'jaya diraja: Teoh Beng Hock bunuh diri

NONEMenteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan bahawa Suruhanjaya Diraja Siasatan kematian Teoh Beng Hock mendapati setiausaha politik DAP itu membunuh diri.
Katanya, suruhanjaya tersebut memutuskan tindakan bunuh diri itu akibat soalsiasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tiga pegawai SPRM didapati telah menggunakan taktik soal siasat yang "agresif, tidak wajar, maka langgar peraturan", kata Nazri dalam satu sidang akhbar di bangunan Parlimen petang ini.

Bagaimanapun, Nazri menambah, pegawai SPRM itu tidak mempunyai niat untuk membunuh Teoh.
Laporan prosiding suruhanjaya diraja setebal 124 muka surat itu merupakan keputusan sebulat suara oleh kesemua anggota panelnya yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka berhubung kes berkenaan.

Prosiding suruhanjaya itu bersidang selama 50 hari dan membabitkan 70 saksi di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini sejak 14 Februari dan berakhir pada 10 Mei lalu.

Laporan hasil siasatan suruhanjaya itu telahpun diserah kepada Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada bulan lepas.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan