Pakatan Rakyat kerah 300,000 sertai Bersih


KUALA LUMPUR: Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Majlis Mesyuarat Pakatan Rakyat bersetuju untuk mengerahkan 300,000 ahli dan penyokong ke perhimpunan Bersih pada hari Sabtu, 9 Julai ini di Stadium Merdeka.
“Majlis Mesyuarat Pakatan Rakyat menyokong keputusan Bersih bagi menuntut pilihan raya yang telus, bebas dan adil.
“Majlis akan mengerahkan 300,000 ahli dan penyokong ke perhimpunan Bersih pada hari Sabtu, 9 Julai ini di Stadium Merdeka,” katanya pada sidang media di G Tower, di Jalan Tun Razak, sebentar tadi.
Beliau turut menuntut kerajaan menghormati semangat pertemuan di antara Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dengan Yang di- Pertuan Agong.
“Kami kesal dengan sikap Menteri Dalam Negeri seolah-olah mereka tidak peduli pertemuan Bersih dengan Tuanku. Seolah-olah Yang Dipertuan Agong memanggil ‘kumpulan haram’ untuk berbincang.
“Polis perlu ambil kira semangat pertemuan ini. Jangan keruhkan keadaan untuk membuat tangkapan,” jelas Anwar.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu.
Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0, S.Ambiga pula dilaporkan akan berusaha sedaya upaya untuk mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka.
Pihak pengurusan stadium berkenaan dikatakan tidak membenarkan stadium itu digunakan atas alasan satu konsert raksasa akan diadakan di situ, meskipun sebelum ini konsert itu  telah dibatalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan