Mahathir Semakin Tua Semakin Angkuh Dengan Islam

WFAUZDIN NS
MESKIPUN sudah berusia, "Rumah kata pergi, Kubur kata mari", namun sedikit pun tidak menakutkan mantan PM untuk `mencabar' hukum hudud. Sewaktu beliau berkuasa sebagai PM, beliaulah orang pertama yang dikatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz yang menentang perlaksanaan hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan di bawah PAS.


Kini, Mahathir tidak lagi berkuasa tetapi beliau masih mempunyai mulut dan suara yang dianugerahkan Allah untuk berkata-kata sebelum beliau mengadap yang Maha Esa. Meskipun sudah bersara setelah beliau berjaya memporak-porandakan negara ini dengan perpecahan umat Islam terutamanya di kalangan kaum Melayu, Mahathir tidak serik untuk terus di maki hamun oleh masyarakat terutamanya apabila beliau bercakap soal Islam.

Di Tanjung Malim, sewaktu beliau menyampaikan Syarahan Perdana Zaaba di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ketika ditemubual wartawan selepas itu Mahathir mengulas tentang cita-cita PAS untuk melaksanakan hukum Islam. Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat memperkenalkan hukum hudud di negeri itu sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi perdana menteri yang dahulunya dianggap menghalang hasrat kerajaan negeri itu melaksanaannya.

“Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud). Pi la tanya Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) kot dia nak bagi... ni dia (Nik Aziz) dok salahkan saya kononnya pasai saya, (PAS) tak dapat laksana hukum hudud,” katanya (Malaysian Insider)

Sepatutnya beliau bertanya kepada diri beliau sendiri, mengapa berpuluh tahun beliau berkuasa sebagai PM, dan Presiden Umno yang mengaku kononnya memperjuangkan Islam itu beliau gagal untuk melaksanakan hukum yang diwajibkan oleh Allah SWT itu? Malahan, beliau sememangnya menentang cita-cita Kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum tersebut secara `halus' iaitu Kerajaan Pusat tidak akan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Kelantan seandainya negeri tersebut melaksanakan hukum hudud.

Bagaimana mungkin Kerajaan PAS Kelantan mampu melaksanakan hukum dari Al-Quran tersebut tanpa kerjasama dari Kerajaan Pusat. Perlaksanaan hukum hudud memerlukan bantuan atau kerjasama dari beberapa pihak atau jabatan yang berada di bawah Kerajaan Pusat seperti pihak Polis, Penjara, kehakiman dan sebagainya. Paling penting, Perlembagaan telah menetapkan tiada undang-undang yang lebih tinggi dari Perlembagaan Persekutuan. Adakah mampu Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan hukum ini tanpa kerjasama atau bantuan dari Pusat?

Namun demikian, Kerajaan PAS Kelantan tidak berputus asa dan hukum tersebut berjaya diwartakan walaupun tidak mampu untuk dilaksanakan. Kaedah "jika tidak mampu laksanakan semua, jangan tinggalkan semua" telah berjaya dilaksanakan di Kelantan termasuk juga di Terengganu sewaktu berada di bawah PAS.

Memang benar, tiada kata yang tepat (direct) dari Mahathir melarang melaksanakan hukum hudud, tetapi surat berbentuk `amaran' kepada Kerajaan Negeri Kelantan serta beberapa petikan ucapan dan kata-kata Mahathir sebelum itu menunjukkan bukti bahawa Mahathir amat anti kepada hukum hudud ini.

Sekarang, beliau mahu Tuan Guru Nik Aziz memohon kepada Najib pula. Adakah Mahathir fikir Najib `lebih beriman' dari beliau? Atau, adakah Mahathir merasakan Umno di bawah Najib lebih `Islamik' daripada Umno di bawahnya? Bayangkan, jika Umno di bawah Pak Lah yang berketurunan Ulamak itu pun Umno masih gagal untuk memartabatkan hukum Islam, apatah lagi Umno di bawah Najib yang isterinya bernama Rosmah yang gagal `diasuh' untuk menutup aurat itu.

Ini menunjukkan, bukan `siapa' selepas Mahathir yang akan menyokong hukum Islam tetapi selagi namanya `UMNO', ianya tidak akan berjuang untuk Islam kerana berjuang untuk bangsa sendiri pun Umno gagal. Justeru itu, tidak perlu Mahathir mencabar PAS untuk `melutut' atau merayu kepada Najib bagi melaksanakan hukum hudud ini. Hukum Allah bukan `barang' yang boleh diminta-minta tetapi ianya suatu kewajipan bagi mereka yang memerintah. /wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan