Siri 3 : Isteri Kau..Isteri Aku, Punca Serangan BUKIT KEPONG


Sejak Mat Indera popular dikalangan buruh sehingga diangkat menjadi pemimpin mereka, kerajaan British sudah mula memusuhi Mat Indera. Apatah lagi apabila Mat Indera bergerak di bawah Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Haji Mohammad. Matlamat mereka ialah untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris. Mat Indera juga aktif didalam pergerakkan Angkatan Pemuda Insaf (API).



Pada 20 Jun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat di seluruh negara dan semua gerakan dan partai gerakan kiri telah diharamkan. Pada masa ini revolusi bergema di serata tempat. Mat Indera telah memimpin belasan pemuda memasuki Tentera Pembebasan Nasional Malaya, mengibarkan panji perjuangan bersenjata dan mengisytiharkan perang terhadap penjajah British. Mat Indera kemudiannya dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Wilayah Bahagian Johor Jabatan Kerja Melayu serta menjadi salah seorang pemimpin Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya.

Mat Indera adalah seorang kader penyusun gerak yang sangat efektif. Pengaruh beliau yang sudahpun tersebar di pelbagai daerah negeri Johor adalah hasil perjuangan beliau pada masa aman dahulu. Pasukan kerja bersenjata pimpinan beliau wujud di pelbagai kawasan terutama di Muar, Air Hitam, Batu Pahat dan Segamat. Mat Indera bersama gerakan KaumMudanya telah berusaha menaburkan benih-benih revolusi di merata kampung dan memperluaskan pengaruh serta tapak organisasi di kalangan ramai pekerja khasnya kaum tani.

Hubungan beliau dengan masyarakat bagai isi dengan kuku. Mat Indera sangat mengambil berat kehidupan masyarakat pelbagai bidang. Masyarakat pula menyambutnya seperti putera terbaik kesayangan mereka sendiri. Mereka lebih-lebih gembira kerana mempunyai tentera mereka sendiri dan Mat Indera yang mereka anggap sebagai seorang pemimpin mereka di waktu aman dahulu kini muncul pula di tengah-tengah mereka sebagai seorang komander Tentera Pembebasan. Banyak kampung telah disusun dan menjadi asas untuk menyokong perjuangan bersenjata mereka. Tambahan pula kesan kemasukan tentera Gurkha dan Fiji British ketika era perang terhadap Jepun mula mendatangkan masalah kepada penduduk kampung.
Tentera Gurkha di Tanah Melayu
Inilah antara punca kepada peristiwa penyerangan Bukit Kepong. Menurut Pak Johan, masyarakat kampung ketika itu banyak diganggu oleh askar-askar upahan penjajah ini. Perangai dan tingkahlaku buruk yang ditunjukkan oleh tentera Gurkha dan Fiji ini semakin menyusahkan masyarakat kampung sejak Jepun keluar dari Tanah Melayu. Mereka lebih gemar berjudi dan mabuk, seterusnya mengganggu orang kampung. Askar Fiji pula lebih teruk lagi apabila tidak boleh melihat perempuan. Tidak kira anak dara atau isteri orang, jika mereka suka mereka akan mendapatkannya.

Pernah terjadi satu peristiwa seorang kampung menetak dengan parang seorang lelaki yang sedang mengendap isterinya di dapur. Rupa-rupanya lelaki yang mengendap itu adalah tentera Fiji. Walaupun tentera Fiji ini bersalah, dan hanya tercedera di lengan namun lelaki ini lebih malang lagi kerana dipenjarakan sehari di atas tindakannya itu. Bak kata Pak Johan, "Lagak askar Fiji ini dengan perempuan, tidak peduli. Jika mereka sudah suka, isteri kau..isteri aku.". Lebih malang lagi pengaruh buruk tentera-tentera upahan British ini turut mempengaruhi sebahagian anggota Polis melayu yang berkhidmat untuk British. Walaupun tidaklah seteruk hingga merogol isteri orang, namun budaya minum dan mabuk ini sudah menjadi kebiasaan dikalangan ramai anggota polis yang bekerja dengan British ketika itu.
Sdr Awang (kiri) bersama bapanya Yahya. Pak Yahya adalah anak kepada Pak Sanib.
Oleh kerana maklumat terperinci perjuangan Mat Indera ketika di dalam hutan tidak begitu diketahui oleh Pak Johan. Saya bersama SAMM berjaya menjejak anak kepada rakan baik Mat Indera iaitu Sanib Jasmani. Sanib Jasmani adalah merupakan Ketua Kompeni Rejimen Ke-10, juga berasal dari Johor, dan pernah sama-sama berjuang bersama Mat Indera. Kami berjaya menjejakkan kaki ke Jeram, Muar untuk bertemu anak kepada arwah Sanib Jasmani iaitu Pak Yahya yang berusia 68 tahun.

Menurut Sdr Awang, iaitu anak Pak Yahya yang pernah bertemu sendiri dengan Pak Sanib semasa hidupnya, telah dimaklumkan tentang keburukan perangai tentera dan polis Britih ketika itu yang berlaku zalim dan penindasan terhadap penduduk kampung. Namun apalah daya penduduk kampung ketika itu. Handak diharapkan kepada Polis melayu, mereka juga bekerja dengan British. Hendak melawan mereka tidak bersenjata.
Sanib Jasmani @ Masin merupakan anggota pasukan Melayu Johor.
Ketika inilah Mat Indera menjadi harapan masyarakat kampung untuk membela nasib mereka yang ditindas dan dizalimi oleh anjing-anjing British ini. Menurut Awang juga, Mat Indera yang sememangnya terkenal di kalangan penduduk kampung di Muar hanya menggunakan Komunis untuk mendapatkan bekalan senjata bagi melawan polis dan tentera penjajah ini. Pak Sanib akhirnya pulang kembali ke Malaysia selepas perjanjian damai hatyai pada 1989. Beliau telah meninggal dunia di Gunung Senyum di Jengka, Pahang beberapa tahun lepas.
Keluarga MAT INDERA Di Buang Negeri
Sejak Mat Indera menjadi buruan kerajaan British. Keluarga Mat Indra yang ketika itu tinggal di Bakri sentiasa mendapat penghinaan. Pak Johan turut menceritakan pengalamannya melalui zaman persekolahan ketika itu. Penghinaan terhadap keluarganya yang dikatakan menjadi penyokong komunis dan pengganas sudah ditanamkan oleh propaganda kerajaan British ketika itu. Propaganda itu turut menyerap dikalangan guru dan rakan-rakannya di sekolah ketika itu. Beliau sentiasa dicemuh oleh semua guru di sekolahnya sebagai keluarga komunis. Kecuali seorang guru agama, Haji Hitam yang sentiasa memberi sokongan dan meminta Pak Johan supaya bersabar. Perkara ini tidak sukar difahami kerana, kebanyakan guru ketika itu adalah merupakan lepasan sekolah Inggeris, melainkan guru agama yang mempunyai kefahaman agama yang lebih. Tambahan pula Mat Indera sendiri adalah seorang guru agama yang terkenal di Muar sebelum masuk berjuang di dalam hutan.

Hanya seorang guru agama sahaja yang tidak menghina dan mengutuk saya di sekolah sebagai Komunis dan pengkhianat - Pak Johan

Kemuncak tekanan kerajaan British kepada keluarga Mat Indera ialah mereka diusir dari bumi Johor. Keluarganya di arah untuk keluar dalam tempoh masa 3 bulan. Jika mereka engkar mereka sekeluarga akan dipenjarakan. Akhirnya Pak Johan dan keluarganya memilih untuk berpindah ke Singapura. Mereka sekeluarga tinggal di Singapura selama setahun.

Sepanjang tempoh lima tahun di Singapura ini, mereka tidak mengetahui khabar berita tentang Mat Indera. Mereka hanya mendengar khabar berita tentang Mat Indera daripada berita serangan di Bukit Kepong dan Mat Indera ditangkap ketika berada di Singapura.

Siri 2 Klik sini 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan