Apa kaitan HIMPUN, petani miskin, anak menteri dapat RM250 juta?
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bagaimana wang RM250 juta yang diperuntukan untuk menolong peladang, petani dan nelayan telah disalurkan kepada anak seorang menteri.Katanya, anak lelaki menteri yang berusia 21 tahun itu langsung tidak mempunyai sebarang rekod ataupun pengalaman dalam bidang pertanian.
“Dasar pelaksanaannya RM250 juta diberi kepada anak seorang menteri, umurnya 21 tahun. Tidak adapa apa rekod apa-apa sekalipun. Patut diberikan keseluruhan (dana itu) kepada petani dan nelayan miskin. Sampai hari ini belum ada jawapan,” katanya pada satu sessi dialog bersama graduan muda di Petaling Jaya, semalam.
Menurut Anwar, perkara itu telah dibawa oleh Pakatan Rakyat ke Dewan Rakyat tetapi hingga sekarang, masih tiada penjelasan daripada kerajaan BN.Pada Bajet 2012, Najib telah mengumumkan peruntukan dana RM1.2 bilion bagi Tabung Pertanian yang bertujuan membantu peladang, petani dan nelayan di negara ini.
Anwar berkata pada dasarnya, perancangan kerajaan itu nampaknya murni tetapi ia sebenarnya diselubungi pelbagai penyelewengan bagi kepentingan politik BN, khususnya Umno.
Sudah salah
“Bolehkah kita terima ini. Secara moral ini sudah salah dan kalau ikut peraturannya sudah (jelas) ini amalan rasuah atau pecah amanah (CBT). Di Malaysia tidak ada jawapan (diberikan). Katalah banyak manapun, tidak akan dilaporkan di media arus perdana,” kata Anwar.Ketua umum PKR itu juga membidas tindakan kerajaan berhubung sebuah agensi yang sepatutnya menolong petani dan nelayan miskin akhirnya dijadikan alat untuk meraih keuntungan beberapa individu.
“Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diswastakan (menjadi Bernas). Kaut untung besar, daripada siapa, penanam padi. Siapa penanam padi? 95 peratus orang Melayu miskin,” katanya.
Menurut beliau, selepas keuntungan besar, syarikat itu kemudiannya dijual kepada seorang tokoh korporat yang rapat dengan Umno dengan beberapa individu tertentu meraihRM30 juta hingga RM40 juta setiap seorang daripada hasil penat lelah petani dan nelayan.Bernas diberi tempoh pengedaran beras selama 10 tahun hingga tahun 2021.
Menurut Anwar, berdepan dengan masalah dan juga kesilapan yang dilakukan oleh pimpinan Melayu Umno sendiri, pentadbiran Najib cuba meletakkan kesalahan di pihak lain.
“Sekarang ini oleh kerana dikatakan orang Cina ini banyak menyokong Pakatan Rakyat, India ini sekarang adalah berubah-ubah sikit, tumpuan adalah (masyarakat) Melayu.
“(Jadi kata mereka) kita perhimpunkan Melayu kerana ancaman Kristian. Kerana Umno sahaja akan menyelamat Melayu, kalau tidak (kerana) Umno habislah Melayu di negara ini, habislah biasisawa untuk anak-anak Melayu, habislah saham-saham Melayu, kata mereka,” kata Anwar dalam nada menyindir.
Orang miskin
Beliau dipercayai merujuk Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bertujuan mempertahankan akidah umat Islam yang berlangsung Sabtu lalu.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga semalam memuji penganjur semalam yang dikatakan merupakan contoh penganjuran perhimpunan secara aman seperti yang dihasratkan kerajaan.
Katanya, perhimpunan anti murtad itu cukup berbeza dengan BERSIH 2.0 yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini pada 9 Julai sehingga lebih seribu perserta ditangkap dan dikenakan pelbagai dakwaan.
Bagi Anwar, tindakan itu hanya bertujuan melalaikan orang Melayu daripada ancaman sebenar yang dihadapi negara hari ini.
“Tapi kita tengok dasar. Yang Melayu apa, baru laksana, suku bilion (diberikan) kepada anak menteri. Baki belum tentu dapat pada orang miskin,” katanya lagi.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan