Kesusahan PAS apabila tak tahu tarikh PRU13 lebih awal

Najib buli PAS

Subky Latif
SIKAP Perdana Menteri Najib yang terus berteka teki tentang PRU13 dikira ikut membuli PAS.

Bukan PAS saja yang dibuli, pengikut UMNO dan seluruh rakyat juga ikut jadi mangsa bulinya.

Sejak lebih setahun lalu masing-masing tidak dapat merancang sesuatu secara aman disebabkan bimbang akan berdepan dengan pilihan raya yang disangka akan berlangsung bila-bila.

PAS biasanya mengadakan muktamar setiap cuti tengah tahun persekolahan sekitar Mei atau Jun.

Muktamar tahun 2012 ini terpaksa ditunda hingga ke hujung tahun iaitu sekitar November.

Sekali pun muktamar itu berlangsung sekitar empat hari tetapi persiapannya mengambil masa yang lama juga dan kakitangan pejabat agung terpaksa menumpukan banyak masa bagi muktamar itu.

Apa lagilah bagi menghadapi pilihan raya. Jika ada Pilihan Raya Umum, maka PAS semua peringkat di seluruh negara terpaksa meninggalkan semua kerja termasuk kerja peribadi dan keluarga kerana menghadapi urusan pilihan raya.

Seluruh jentera dan tenaga PAS tidak wajar membuat dua kerja besar iaitu muktamar dan Pilihan Raya Umum pada satu masa.

Walaupun muktamar itu tetapi pilihlan raya lebih penting.

Bagi menjamin urusan pilihan raya tidak terganggu, maka PAS memberi keutamaan kepada pilihan raya.

PRU13 tidak jadi diadakan tahun 2011. Maka ia dikira akan diadakan dalam tahun 2012 juga. Setelah ia tidak diadakan dalam bulan Februari dan Mac 2012, maka semua ramalan mengira masa itu akan berlangsung dalam bulan Mei.

Bahkan telah ada isyarat dari SPR betapa ia bersiap untuk mengadakannya pertengahan tahun ini. Waktu yang terbaik tahun ini ialah bulan Mei.

Maka PAS dan sekutunya membuat semua persiapan bagi menghadapi kedatangan bulan Mei itu. PAS tidak bersedia membuat kerja lain termasuk menangguhkan muktamar ke satu tarikh yang lain. Ia ditunda ke hujung tahun.

Setelah tiba bulan Mei tidak juga Parlimean dibubarkan. Sampai masuk bulan Jun sah tiada pilihan raya. Sementara menunggu pengumuman pembuburan Parlimean dalam bulan Mei itu ada maklumat dari orang-orang sekolah menyebut notis kerajaan untuk menggunakan sekolah, dipercayai untuk dijadikan tempat mengundi, bunyinya tidak jadi digunakan. Ia adalah isyarat PRU itu tidak tunda.

Mengapa? Entahlah.

Ia tidak jadi diadakan sebelum Mei, mungkin termakan gertak Menteri Besar Selangor yang tidak sedia mengadakan pilihan raya serentak kiranya ia diadakan sebelum penggalnya genap empat tahun. Idah yang diberi oleh Selangor itu telah berlalu dalam bulan Mei lalu. Tetapi ternyata Perdana Menteri belum dapat isyarat.

Walaupun PAS cukup bersedia pada bulan Mei itu tetapi ia bukan satu masa yang baik memandangkan SPR belum memenuhi tuntutan lapan perkara oleh dikemukakan oleh Bersih 2.0 Selagi tuntutan itu tidak dipenuhi, PAS tidak sedap hati untuk menghadapi pilihan raya.

Sekalipun PAS menunda muktamarnya, tetapi ia mengambil peluang menyokong unjukrasa Bersih 3.0 yang diketua bersama oleh Dato’ Ambiga dan Dato’ Samad Said pada 28 April lalu.

Banyak juga kerja untuk menjayakan Bersih 3.0 itu tetapi ia tidak sesulit mengadakan muktamar. Kalaupun Parlimen dibubarkan menjelang demonstrasi, tidak payah sangat untuk mmbatalkannya dan tidak jadi masalah jika hendak diteruskan.

Kalau PAS tahu PRU tidak jadi diadakan bulan Mei, tentu ia tidak menunda muktamarnya. Apa yang PAS dapat buat bagi menggantikan muktamar itu ialah menganjurkan perhimpunan Hijau ke Putrajaya di Alor Setar yang dihadiri lebih 100,000.

Muktamar bulan Mei ditunda ke bulan November. Pilihan raya yang tidak diadakan bulan Mei itu dianjak lagi ke depan. Bagaimana kalau diandaikan dalam bulan November? Ternyatakan ia satu masa yang tidak disenangi oleh PAS kerana PAS bercadang untuk mengadakan muktamar sebelum tahun berakhir.

Adakah PAS akan menunda lagi muktamarnya kerana PRU itu mungkin diadakan masa itu?

Secara tidak sedar PAS telah dibuli lagi oleh Najib. Walaupun Najib tidak berniat untuk membuli sesiapa, tetapi dengan kelakuannya yang misteri itu dia telah membuli semua orang. Orang politik tidak dapat merancang tindakan ke hadapan kerana bimbang ada pilihan raya.

Orang politik yang hendak menikahkan anak pun payah merancang, takut hari kahwin itu serentak dengan pilihan raya.

Semua orang susah dengan keadaan Najib itu. Adakah dia seronok melihat semua orang jadi mangsa bulinya?

Saya teringat akan Maharaja Nero dari empayar Rom purba. Dia digelar Maharaja Gila. Dibakarnya kota Rom. Dia ketawa berdekah-dekah melihat Rom terbakar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan