Mat Sabu: PAS ganti perangai Umno bahaya

Abdul Rahim Sabri
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menaruh harapan besar kepada NGO, seperti Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk bekerja kuat bagi membangkitkan kesedaran rakyat tentang hak asasi daripada "belenggu yang menyeksakan".

Bahkan beliau menggesa NGO lain seperti Asal Bukan Umno (ABU) menjadi "kumpulan pendesak" untuk mengkritik dasar kerajaan khusus Pakatan Rakyat jika meneruskan dasar yang zalim dan penyelewengan seperti kerajaan sebelum ini, sekiranya berlaku.

Mohamad berkata jika keberanian itu tidak ditonjolkan, beliau bimbang, kerajaan yang mengambil alih khususnya Pakatan, "akan mencari jalan memperkenalkan undang-undang malah kadang kala lebih teruk daripada kerajaan yang diambil alih" untuk mempertahankan kuasa mereka.

"Sebab itu slogan PAS ganti Umno ini cukup bahaya. Saya bimbang mereka (betul-betul) ganti perangai Umno. Kalau perkara itu timbul, tugas NGO ini (menentangnya).

"Bila orang dapat kuasa, amat susah kuasa itu digugat. Sebab itu kumpulan memperjuang hak asasi (perlu) terus hidup dan kuat , walaupun sesiapa sahaja memerintah.

"Sebab, senang kita cakap apabila dapat kuasa. Bila dapat kuasa, sudah mula kita ugut orang. Aku bongkar ini, aku dakwa (kau) bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi), sedangkan kita nak hapuskan OSA itu.

"Penyakit orang berkuasa, dia (buat apa sahaja) nak kekalkan kuasa... Dalam sejarah pemerintah nak serah kuasa memang susah nak berlaku," katanya.

Bahasa pembangunan

azlan
Bercakap dalam forum "ISA: Penyeksaan yang sempurna" di Kuala Lumpur malam tadi, Mohamad membangkitkan persoalan sekiranya kerajaan Pakatan mendapat kuasa, apakah akan wujud kecenderungan untuk melakukan penyelewengan seperti yang dilakukan kerajaan sebelum ini.


"Bagaimana rakyat bangun menegur dan menentang kita. Adakah kita mencari jalan untuk menutup mulut mereka supaya menjadi disiplin, rakyat yang berguna (dan) rakyat yang tidak menukar kerajaan.

"Kami menggunakan TV (minta) rakyat supaya bersyukur, (dan) sedia menyokong kerajaan Pakatan yang sentiasa membuat pembangunan. Mungkin itu bahasa yang digunakan," katanya sambil diiiringi tepukan dan gelak ketawa hadirin.

Oleh yang demikian, Mohamad menggesa GMI dan NGO lain dapat bergerak lebih hebat untuk menimbulkan keberanian kepada rakyat dan mendidik serta menonjolkan perjuangan hak asasi.

"Saya harap GMI perlu lebih kuat bukan sahaja ketika kerajaan hari ini, tetapi kerajaan akan datang kerana potensi untuk menyeleweng memang sentiasa ada.

"Hanya rakyat yang berpegang teguh dengan amar makruf nahi mungkar akan menyuburkan nilai kemanusiaan pada hari ini dan masa akan datang," katanya yang pernah ditahan ISA sebanyak dua kali pada 1984 dan 1987.

Arab tiada standard cakap hak asasi

NONE
Mohamad yang lebih dikenali sebagai 'Mat Sabu' membuat gesaan itu selepas mendengar pandangan intelektual Prof Tariq Ramadan yang menjawab soalan seorang hadirin dalam satu forum dan beliau membuat perbandingan tentang kebebasan, keadilan serta hak asasi antara negara Arab di Timur Tengah dan Amerika Syarikat.


Mohamad berkata, Tariq (bawah) berpandangan bahawa negara Arab di benua itu "tidak ada standard cakap tentang hak asasi" berbanding Amerika Syarikat yang sering melaungkan keadilan dan hak asasi manusia sekalipun mereka mempunyai pusat tahanan tanpa bicara di Guantanamo Bay.

Turut menjadi panelis dalam forum tersebut adalah aktivis Hishamuddin Rais, isteri bekas tahanan ISA Norlaila Othman dan pendakwah Wan Ji Wan Husain.

Sementara itu, Hishamuddin mendakwa ISA digunakan bertujuan menakut-nakutkan orang yang berada di sekeliling individu yang ditahan atau parti politik supaya dapat melumpuhkan gerakan mereka.

Beliau yang pernah ditahan ISA berkata akta tersebut turut dijadikan "senjata politik" untuk mematahkan pergerakan musuh khususnya terhadap mahasiswa, kesatuan sekerja dan agamawan bagi mematahkan "pertentangan dalam politik".

"Ia instrumen efektif supaya orang ditakut-takutkan dengan ISA. Sebenarnya yang takut itu dalam diri kita, bukan ISA. Takut itu yang harus kita lawan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan