SHAH ALAM: Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi pendiriannya - kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan segera isu royalti minyak yang dituntut Kerajaan Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Katanya, isu itu perlu diselesaikan sebelum PRU13 untuk menarik sokongan rakyat Kelantan kepada BN.
Dipetik laporan Astro Awani, Tengku Razaleigh mengulas perkembangan selepas laporan beberapa bulan lalu bahawa Umno Kelantan mahu mendapatkan pandangannya untuk persiapan menghadapi PRU13.
Beliau berkata, ada didatangi oleh beberapa pemimpin Umno Kelantan yang meminta pandangan bagaimana untuk menguatkan semula Umno di Kelantan.
"Saya kata apa yang dilakukan oleh mereka sudah cukup kecuali hendak digerakkan di peringkat 'grass root' supaya mereka tak tunggu pemimpin datang baru nak bergerak. Tengok parti-parti lawan bergerak sepanjang masa.
"Jadinya, saya cadang kalau boleh diatasi atau diselesaikan dua perkara yang dihadapi oleh rakyat Kelantan, saya rasa masalah boleh selesai...
"Satunya mengenai tuntutan rakyat Kelantan terhadap royalti minyak yang sememangnya sudah pun ditentukan oleh Akta Kemajuan Petroleum yang dibuat pada tahun 1974 atas kehendak Tun Razak yang juga menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu," kata beliau lagi.
Katanya, satu lagi isu yang perlu ditangani ialah infrastruktur bagi kemudahan rakyat terutamanya jalan raya.
Tengku Razaleigh pada masa yang sama menepis kritikan kononnya beliau kerajaan Pas yang menuntut royalti petroleum.
"Saya cakap bukannya kerana saya memihak kepada pembangkang, tidak. Saya cuma hendak jelaskan apa yang terkandung dalam Akta Kemajuan Petroleum yang saya tolong gubalkan atas arahan arwah Tun Razak.
"Kalau itu boleh diterima oleh Umno pada ketika itu, masa Tun Razak jadi Presiden, saya jadi Naib Presiden, mengapa Umno sekarang ini tidak boleh pakai, tidak munasabah," katanya.
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan