'Rakyat Selangor hilang air percuma jika terus Projek Langat 2'

Dr Xavier Jayakumar
ULASAN 
Saya ingin mengulas kenyataan Datuk Noh Omar, Menteri Pertanian Asas Tani merangkap Timbalan Pengerusi Umno Selangor yang mengatakan bahawa rakyat Selangor akan terus diberikan air percuma sekiranya Barisan Nasional berjaya merampas Selangor dalam PRU 13 yang akan datang.

Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan Noh itu tidak berasas dan merupakan retorik politik berdasarkan beberapa fakta:

1) Kos penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan Pembinaan Loji Langat 2 adalah bernilai RM8.65 Bilion. Selain dari itu Kerajaan Negeri juga terpaksa membayar RM60 juta 'royalti air' setiap tahun kepada Pahang bagi air mentah tersebut .

2) Walaupun dana keseluruhannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan tetapi sumber dana tersebut diperolehi dari pinjaman dari Japan International Cooperation Agency (J.I.C.A) dari Negara Jepun.

3) Bagi membayar bagi kos projek, kerajaan Pusat (melalui pembekal dan pengedar air tunggalnya, iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tiada pilihan lagi melainkan mengenakan kadar tarif (harga air) yang tinggi kepada pengguna iaitu rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

(Kita menjangkakan bahawa harga akan akan meningkat sehingga 70 peratus selepas Loji Langat 2 siap sepenuhnya dijangka pada tahun 2014)

4) Sekiranya kenaikan air tersebut berlaku di mana rasionalnya untuk memberikan 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor dan pengguna-pengguna yang lain.

5) Harus juga diingat bahawa SYABAS adalah sebuah syarikat korporat swasta yang berorientasi ‘keuntungan’ (Profit making company) dan kita tidak nampak SYABAS mampu mengorbankan keuntungannya bagi tujuan tersebut.

6) SYABAS juga dilaporkan menanggung hutang bernilai RM2.8 bilion kepada operator loji rawatan air dan dalam keadaan kewangannya yang meruncing ini maka adalah sukar untuk SYABAS memberikan air percuma.

7) Harus diingat bahawa rekod kami menunjukkan bahawa kerajaan negeri membelanjakan RM144 juta setahun bagi pemberian 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor .

Jadi berdasarkan fakta-fakta di atas jelaslah Noh Omar hanya bercakap kosong, sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan