KUIS dilanda krisis besar?

ARIF ATAN
Tertekan dengan pelbagai dasar pengurusan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) Bangi, sekumpulan warga pusat pengajian tinggi milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) itu datang ke Pejabat Harakah baru-baru ini untuk mengadukan masalah mereka.

Mereka yang terdiri daripada staf akademik dan pelajar menemui Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman baru-baru ini sambil berharap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap krisis yang sedang berlaku.

Sebelum ini, surat dan memorandum berkaitan sudah dihantar kepada pihak berkenaan namun setakat ini masih tiada tindakan memuaskan.

Luahan dan keluhan mereka yang seramai lima orang lebih dua jam itu menyentuh tentang kepimpinan Reaktor Kuis, Prof Dato' Dr Aziuddin Ahmad. Mereka juga tidak berpuas hati dengan Pengerusi Mais, Dato'i Mohd Adzib Mohd Isa.

Bagi mengelak Kuis berdepan masalah pada masa depan, mereka telah menghantar memorandum kali pertama kepada Menteri Besar pada 17 Oktober 2012 yang juga Exco Agama Negeri Selangor dan Pengerusi Lembaga Pengarah Kuis.

Tuntutan mereka agar Rektor dan kumpulan pengurusannya ditukar kerana telah banyak melakukan kerosakan Kuis sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang cemerlang sebelum ini.

Pertama, penutupan pusat pengajian siswazah dan memberhentikan pengambilan baru untuk dua program pasca siswazah sarjana yang sedang berjalan.

Kedua, memberhentikan kursus pengajian doktor falsafah (PhD) yang telah mendapat kelulusan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tanpa sebab munasabah.

Ketiga, menutup kursus berdaya saing seperti Fakulti Sains Kejururawatan dan Kesihatan Bersekutu serta Fakulti Teknologi Maklumat kerana menganggap tidak sesuai dengan kedudukan sebagai kolej Islam.

Keempat, mengambil langkah drastik menutup mana-mana program yang tidak mencapai jumlah pelajar berdaftar iaitu seramai 18 orang.

Kelima, enggan menjadikan Kuis kepada universiti bertaraf penuh tanpa sebab munasabah walaupun sebahagian besar syaratnya telah dipenuhi.

Keenam, meningkatkan syarat kemasukan pelajar dengan alasan mahukan yang berkualiti sahaja sedangkan Kuis sepatutnya menjadi alternatif tempat melanjutkan pengajian tinggi agar dapat bersaing dengan IPT lain.

Ketujuh, memberhentikan semua bentuk promosi menarik minat pelajar dengan alasan supaya calon pelajar yang masuk biarlah kerana mencium 'haruman' Kuis.

Kelapan, membatalkan segala perjanjian persefahaman (MoU) yang pernah dilakukan oleh pengurusan terdahulu.

Kesembilan, menubuhkan sekolah menengah yang dinamakan Sekolah Bina Insan (SBI) yang menelan belanja tidak masuk akal hingga menjejaskan belanjawan kewangan Kuis.

Kesepuluh, mewujudkan Pusat Pengajian Teras (PPT) yang berfungsi dengan penggabungan beberapa fakulti dan penambahan subjek-subjek tidak relevan.

Kesebelas, menubuhkan Majlis Transformasi Kuis (TOK) yang dianggotai oleh kakitangan pengampu yang berkuasa penuh terhadap sebarang keputusan yang telah dibuat di peringkat Majlis Dekan dan Majlis Senat Kolej.

Kedua belas, situasi kewangan Kuis berada dalam keadaan defisit yang begitu kritikal sekali.

Ketiga belas, pengabaian kebajikan staf seperti tiada kenaikan gaji dan pangkat; pilih kasih mengutamakan pekerja baru; bajet untuk perubatan dan seminar dikurangkan dari RM2,000 kepada RM1,000 sahaja.

Jelas, dasar dan tindakan Rektor tersebut sejak dilantik tiga tahun lalu telah banyak memberi kesan kepada imej dan prestasi Kuis malah tidak selari dengan aspirasi kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Mereka juga kecewa apabila beberapa usaha untuk mengetengahkan isu tersebut kepada Menteri Besar sebekum ini melalui pengurusan Mais tersekat di tengah jalan.

"Persoalannya, mengapa pengurusan Mais seolah-olah mendiamkan perkara ini daripada sampai ke pengetahuan Menteri Besar hingga tiada tindakan sewajarnya diambil," persoal ahli akademik itu.

Masalah di pihak pelajar pula membabitkan, antara lain, yuran pengajian dan yuran asrama yang tinggi serta dikenakan peraturan-peraturan yang keterlaluan.

Mereka berharap agar kakitangan dan pelajar Kuis tidak menjadi mangsa keadaan dan dieksploitasi sebagai isu politik oleh pihak-pihak tertentu seperti yang telah berlaku di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.

Justeru, kumpulan warga Kuis prihatin tersebut memohon belas ehsan Menteri Besar, Abdul Khalid untuk campur tangan menyelesaikan isu tersebut dan meletakkan hala tuju Kuis di landasan yang tepat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan