Bertanding di Kota Damansara Dari Sudut Akhlak Jamaah Islam

Khalid Samad
Beberapa hari yang lalu telah saya bahas dari sudut ijtihad atau keputusan strategi. Hari ini saya ingin bahas dari sudut yang lebih berat iaitu akhlak jamaah Islam.

Untuk membahas dari sudut akhlak jamaah Islam, satu persoalan utama perlu dijawab terlebih dahulu.

Persoalan ini ialah samada wakil rasmi PAS dalam mesyuarat perundingan kerusi di peringkat PR Pusat telah memberi persetujuan untuk menerima Dr. Nasir sekiranya beliau diturunkan sebagai calon PKR atau sebaliknya? Sekiranya persetujuan telah diberi oleh wakil rasmi PAS di mesyuarat tersebut, maka walau apa pun alasan yang diberi oleh kawasan dan cawangan-cawangan, tindakan PAS bertanding adalah salah dari segi akhlak jamaah Islam.

Sekiranya ianya tidak dibincang dan wakil PAS di mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat telah dengan jelas menyatakan bahawa walau apa pun, calon PSM tidak boleh diterima, maka tindakan PKR meletak Dr. Nasir sememangnya menempah masalah.

Sememangnya setiap kerusi dibincang dan diputuskan di mesyuarat PR Pusat. Bukan untuk Kota Damansara sahaja tetapi untuk semua kerusi yang ditandingi. Setiap kerusi dibincang dan diagihkan di antara parti yang terlibat berdasarkan maklumat dari Negeri yang telah diambil dari kawasan. Oleh kerana PAS tiada pertindihan kerusi dengan DAP maka biasanya PAS akan berunding dengan PKR sambil PKR pula akan berunding dengan DAP berhubung kerusi majoriti bukan Melayu.

Dalam soal KD ianya telah ditandingi oleh PKR pada tahun 2008 dan Dr. Nasir jugalah calon yang diturunkan oleh PKR. PKR menurunkan Dr. Nasir sebagai calonnya di Kota Damansara pada 2008 dengan persetujuan mesyuarat PR dan beliau telah menang. Semua yang terlibat dengan mesyuarat PR mengetahui bahawa Dr. Nasir adalah dari parti PSRM pada asalnya tetapi keluar PSRM apabila PSRM disatukan dengan PKR. Dr. Nasir dan beberapa rakannya kemudiannya berusaha untuk mendaftarkan ‘PSM’ sejak sebelum 2008 lagi. Tanpa adanya parti sendiri maka mereka bersetuju untuk bertanding dengan menggunakan lambang PKR. PKR pun bersetuju untuk mengelak berlakunya 3 penjuru dan mesyuarat PR meluluskannya.

Pada 2013 PSM telah didaftarkan. Maka pada ketika itu mereka ingin bertanding atas lambang PSM. Perkara ini, sefaham saya, telah dibawa ke mesyuarat PR. Keputusan mesyuarat PR pada ketika itu ialah sekiranya mereka bertanding atas lambang PKR maka status quo akan kekal dan mereka akan diterima sebagai calon PKR dan dengan itu calon PR. Dan ini dipersetujui oleh wakil PAS di dalam mesyuarat tersebut yang turut menegaskan supaya elak pertandingan 3 penjuru.

Sebaliknya, sekiranya mereka bertanding atas lambang PSM maka mereka tidak mewakili PR. Dalam keadaan itu PKR akan bertanding juga walaupun berlaku 3 penjuru! Yang akan bertanding melawan PSM pada ketika itu adalah PKR bukan PAS! PAS tiada kena-mengena dengan kerusi tersebut kerana ianya kerusi PKR. Itu yang dipersetujui oleh wakil rasmi PAS.

Berbekalkan keputusan ini maka PKR berusaha memujuk ahli PSM untuk bertanding atas lambang PKR seperti pada 2008. Ini adalah untuk mengelak dari berlakunya 3 penjuru yang mungkin akan menyebabkan PKR dan PR kehilangan kerusi berkenaan. Calon PSM untuk DUN Semenyih yang bertanding atas lambang PKR pada tahun 2008 telah menolak tawaran tersebut. Maka PSM turun sebagai calon PSM dan oleh itu berlakulah 3 penjuru di antara PKR, PSM dan BN di Semenyih. PKR bertanding walaupun 3 penjuru adalah sepertimana yang diputuskan dan dipersetujui dalam mesyuarat PR. Hasilnya BN menang di Semenyih dan PSM dianggap membantu BN untuk mencapai kemenangan.

Di Kota Damansara, PKR berjaya memujuk Dr. Nasir untuk bertanding dengan lambang PKR. PKR mengarahkan bakal calon PKR sendiri, iaitu Sdr Razlan Jalaluddin seorang peguam untuk menarik diri dan beri laluan kepada Dr. Nasir. Sdr Razlan akur dengan keputusan tersebut dan menarik diri. Dr. Nasir seterusnya diturunkan sebagai calon PKR. PKR yakin keadaan 3 penjuru telah dielak dan terkejut apabila didapati PAS menurunkan calonnya untuk Kota Damansara pada pagi penamaan calon! Pada ketika itu, dan biarlah kita bercakap ikhlas dalam soal ini, jangan berputar-belit macam Yahudi, PAS turunkan calon menentang calon PKR bukan calon PSM!

Wakil rasmi PAS dalam mesyuarat PR Pusat telah dihubungi. Beliau berada di Sabah dan tidak ketahuan apa dan mengapa perkara tersebut berlaku. Setelah dimaklumkan, beberapa hari kemudian, beliau telah turun dari Sabah ke Kota Damansara untuk mengisytiharkan Dr. Nasir sebagai calon rasmi PR! Malangnya ahli PAS Kota Damansara menolak pendirian beliau sedangkan beliau adalah wakil rasmi PAS dalam soal perundingan kerusi!

Apa yang ditulis di atas adalah apa yang saya dimaklumkan oleh wakil rasmi PAS ke mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat, iaitu Setiausaha Agung PAS, Dato Mustaffa Ali. Sekiranya apa yang diceritakan adalah benar, maka amat jelas PAS telah mungkiri janji.

Sekiranya begitu maka amat sangat malanglah keadaannya, lebih lebih lagi sekiranya PAS ingin terus menafikan bahawa PAS telah melakukan kesalahan dengan melanggar apa yang telah dipersetujui bersama. Soal perjanjian dan berpegang kepadanya adalah sesuatu yang amat dipentingkan oleh Islam. Oleh itu tindakan melanggar janji adalah satu tindakan yang tidak boleh dibenarkan dan didiamkan. Allah berfirman di dalam Al-Quran:

“Dan janganlah kamu jadikan perjanjian yang kamu sertai di antara kamu (sebagai bahan mainan). Akan tergelincir kaki setelah berdiri teguh. Dan akan kamu dilemparkan dengan kehinaan kerana kamu menjadi penghalang kepada jalan Allah (dengan perangai buruk kamu) dan di akhirat akan kamu menerima azab yang dahsyat.”
(An-Nahl 94)

Tindakan langgar perjanjian di dalam ayat ini di samakan Allah dengan tindakan menghalang manusia dari jalan Allah! Kerana dilihat oleh mereka bahawa orang Islam tidak berpegang pada janji. Maka mereka memandang hina terhadap orang Islam dan dengan itu menjadi punca mereka menjauhkan diri dari jalan Allah. Fikir-fikirkanlah. Tindakan tersebut sebagai sebuah ‘Parti Islam’ mempunyai implikasi luas dan terus terhadap tanggapan manusia mengenai Islam itu sendiri.

Untuk makluman, di peringkat Negeri Selangor, soal PAS bertanding di kerusi Kota Damansara tidak pernah timbul walau dalam apa-apa perbincangan. PAS Negeri dan Kawasan telah bersetuju bahawa kerusi itu adalah milik PKR dan PAS tidak akan bertanding di situ! PAS Kawasan Subang, iaitu kawasan di mana terdapat DUN Kota Damansara, bertemu berkali-kali dengan PAS Negeri tetapi hanya untuk berbincang persoalan calon Paya Jaras SAHAJA! Pendirian Negeri inilah yang diulangi di peringkat Pusat.

Adalah merupakan kebiasaan bahawa janji dan persetujuan yang dibuat oleh wakil rasmi sesebuah pertubuhan adalah merupakan janji dan persetujuan pertubuhan tersebut. Sekiranya PAS mempunyai tanggapan berbeza, di mana janji dan persetujuan wakil rasmi yang diberi mandat untuk mewakili PAS di dalam sesuatu perbincangan tidak mengikat PAS, maka perlu diberitahu pada semua dari awal. Dalam ertikata lain, PAS perlu beritahu bahawa wakil PAS boleh berjanji tetapi janji dan persetujuan itu boleh dibatalkan dan dilanggar pada bila-bila masa mengikut keseuaian tempat dan keadaan semasa.

Saya minta pendirian jelas dikeluarkan yang mengatakan begitu sekiranya benar itulah sikap PAS terhadap janji dan persetujuan yang diberi. TETAPI ketahuilah, sekiranya itulah sikap PAS maka tiada siapa akan membuat perjanjian dengan PAS kerana janji tersebut tidak bermakna!

Dalam soal ini hujjah ‘ijtihad pemimpin’ tidak boleh diguna-pakai. Kerana pemimpin tidak boleh berijtihad untuk melanggar perjanjian dan persetujuan yang telah dicapai sebelumnya dengan begitu sahaja. Untuk makluman di antara matlamat utama PR ialah untuk menentukan satu lawan satu menentang BN. PAS telah beri komitmennya untuk mengukuhkan PR. Tindakan bertanding di Kota Damansara bercanggah dengan apa yang dijanji dan dipersetujui.
عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم :
" إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالأَمِيرِ خَيْراً ، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ ، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ "
[ رواه أبو داود والنسائي ] .

Dari Ayesyah (RA): Telah berkata Rasulullah (SAW):-
Sekiranya Allah inginkan kebaikan bagi seseorang pemimpin, akan diadakan untuknya wazir yang bersifat benar. Sekiranya dia lupa akan diingatkannya dan sekiranya dia ingat akan dibantunya. Sekiranya diinginkan Allah sebaliknya, maka diadakan untuknya wazir yang jahat. Sekiranya dia lupa tidak diingatkannya dan sekiranya dia ingat, tidak dibantunya.
(Riwayat Abu Daud dan An-Nasaii)

Biarlah ahli PAS menjadi sebagai wazir yang Siddiq yang membantu kearah pengukuhan PR sepertimana yang diinginkan PAS. Maka apabila pimpinan lupa, sama-sama kita ingatkan dan apabila pimpinan ingat dan berusaha keras untuknya, sama-sama kita bantu.

Maka sekali lagi saya nyatakan, sekiranya persetujuan telah diberi oleh wakil rasmi PAS dalam mesyuarat PR bahawa PAS tidak akan bertanding di Kota Damansara apabila PKR menurunkan calon, walaupun calon itu adalah Dr. Nasir, maka tindakan PAS bertanding di Kota Damansara adalah salah, bercanggah dengan akhlak jamaah Islam dan menjatuhkan imej PAS dan Islam dikhalayak ramai.

Saksikan ya Allah bahawa saya telah tunaikan tanggung jawab saya kepada pimpinan saya!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan