Letak jawatan atau himpunan lebih besar?

AZIZ MUDA
KUALA LUMPUR: Gabungan NGO yang bercadang untuk mengadakan himpunan besar-besaran di Putrajaya atau Dataran Merdeka jika Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan pegawai-pegawai SPR yang ada sekarang tidak meletak jawatan, dianggap sebagai komitmen ikhlas rakyat mahukan sebuah pilihan raya adil, bebas dan bersih pada masa depan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar berkata, dalam PRU13 lalu, rakyat dapat merasakan dan menyimpan pengalaman tersendiri berkenaan pelbagai penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh SPR.
Katanya, SPR yang ada sekarang sudah tidak lagi dilihat sebagai badan bebas sejak dahulu, malah jelas berpihak kepada Umno-BN, sehingga badan itu gagal mengendalikan pilihan raya dengan bersih, adil dan telus seperti yang diingini oleh rakyat.

Menurut beliau, rakyat jelas ditipu oleh SPR dengan penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal, walaupun pihak kerajaan telah membelanjakan lebih RM2 juta wang rakyat untuk menyediakan dakwat itu.

“Setelah keputusan PRU13 diumumkan dengan memberikan kemenangan kepada BN yang mencurigakan itu, kini rakyat bangkit menentang segala penipuan dan penyelewengan SPR menerusi beberapa siri Perhimpunan Black505 di beberapa tempat yang dihadiri puluhan malahan ratusan ribu rakyat,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berkata, rancangan untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran itu adalah lanjutan kepada perhimpunan-perhimpunan yang telah diadakan sebelum ini sekiranya peneraju SPR tidak berubah.

Perhimpunan lebih besar tegasnya, memang wajar diadakan oleh gabungan NGO, jika tidak SPR tidak akan dirombak dan ditambahbaikan buat selamalamanya selagi BN menguasai badan ini.

Mahfuz berkata, rakyat telah pun memberikan ruang masa yang cukup kepada Kerajaan Umno-BN dan SPR untuk mengatasi segala kepincangan dan penyelewengan itu, tetapi segala desakan rakyat tidak juga dipedulikan oleh SPR.

Kemarahan rakyat, tegas Pesuruhjaya PAS Kedah itu, semakin memuncak apabila SPR tidak mengendahkan segala teguran dan aduan, sebaliknya sering mengeluarkan kenyataan yang menyebelahi BN, sehingga badan itu dilihat seperti menjadi jurucakap kepada Umno-BN pula.

Oleh kerana SPR bersikap tidak profesional dan bias, tidak hairanlah jika rakyat bangkit membantah dan menolak SPR sebagai badan bebas.

“Kerajaan BN tidak boleh menyalahkan rakyat lagi jika diadakan perhimpunan besar itu nanti. Sebaliknya, rakyat wajar diberikan hak untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka akibat penipuan dan penyelewengan SPR itu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan